home Semasa Usah terbabit hantar makanan tak halal – Mufti Kedah

Usah terbabit hantar makanan tak halal – Mufti Kedah

 

ALOR SETAR: Penghantar makanan e-hailing dinasihatkan tidak terbabit dalam penghantaran pesanan makanan tidak halal sekiranya mengetahui status halal makanan berkenaan.

Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang, berkata bagaimanapun sekiranya langsung tidak mengetahui status halal, hukum pendapatan diperoleh daripada perkhidmatan itu adalah halal.

“Hukum asal jual beli yang membawa kepada maksiat dan kemungkaran ialah haram sekiranya diketahui serta ada dzan (sangkaan) kuat terhadap tujuan yang cenderung kepada perkara haram.

“Dalam konteks Malaysia yang majoriti penduduk beragama Islam, secara umumnya perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian adalah halal dan termasuk dalam kategori akad Wakalah Bil Ujrah, iaitu perwakilan yang dibayar upah yang hukumnya harus berdasarkan syarat ditetapkan syarak,” katanya dalam kenyataan.

Fadzil berkata, jika pesanan bercampur antara makanan halal dengan haram, terdapat tiga keadaan perlu diambil perhatian.

Katanya, jika diketahui kuantiti makanan atau minuman halal melebihi haram, maka pendapatannya adalah halal.

“Kedua, jika diketahui kuantiti makanan atau minuman haram lebih banyak, adalah lebih baik mengelak daripada memperoleh pendapatan daripada pekerjaan itu.

“Sekiranya tidak dapat dibezakan antara kedua-duanya, pendapatannya tidak haram. Namun, hukum mengambil pendapatan itu adalah makruh. Bagaimanapun, atau dasar Ihtiyat (berjaga-jaga) adalah tidak digalakkan mengambilnya kerana dibimbangi termasuk dalam perkara syubhah,” katanya.

Fadzil berkata, bagi mengelak dikenakan tindakan penalti pihak syarikat perkhidmatan kerana pembatalan perkhidmatan penghantaran makanan tidak halal itu (jika yakin makanan dipesan termasuk perkara syubhah), maka jawatankuasa menasihatkan mereka berhubung terus dengan syarikat berkenaan agar membatalkan pesanannya.

“Hal ini berdasarkan firman Allah SWT bermaksud: “Dan (ingatlah) seseorang tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kembalinya kamu, maka Dia akan memberitahu kepada kamu mengenai apa kamu kerjakan. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui (segala isi hati) terkandung dalam dada.

“Berdasarkan dalil itu, Muslim tidak akan menanggung dosa seseorang Muslim lain. Justeru, dalam konteks transaksi membabitkan tujuan atau perkara haram dan di luar pengetahuan seseorang, maka dosa pelaku ditanggung sendiri dan tidak ditanggung pihak lain yang berurusan dengannya,” katanya.-Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *