home Semasa MAIK arah kuliah agama ditangguh serta merta

MAIK arah kuliah agama ditangguh serta merta

 

KOTA BHARU: Semua kuliah agama di masjid dan surau di Kelantan termasuk kelas al-Quran ditangguhkan serta merta bermula hari ini sehingga 27 Oktober ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, berkata pendekatan itu adalah sebagai langkah bagi membendung penularan COVID-19.

Katanya, perkara itu mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang juga sebagai Ketua Agama Islam sebagaimana peruntukkan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan bagi penangguhan kuliah-kuliah agama di masjid seluruh negeri itu.

“Pendekatan ini diambil memandangkan sejak akhir-akhir ini berlakunya peningkatan dalam kes COVID-19 di seluruh negara termasuk di Kelantan.

“Justeru itu, MAIK mengarahkan semua kuliah agama sama ada kuliah Subuh, Maghrib, Dhuha dan kuliah lain termasuk kelas al-Quran ditangguhkan serta merta.

“Solat fardu dan solat sunat boleh dilaksanakan seperti biasa dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak COVID-19 yang dikeluarkan oleh pihak MAIK sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau juga mendoakan wabak COVID-19 yang sedang mengancam negeri dan seluruh negara pada masa ini segera berakhir dan diangkat oleh Allah SWT. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *