home Semasa Tapis berita elak fitnah tersebar

Tapis berita elak fitnah tersebar

 

ISLAM tidak mengajar umatnya memulau pesakit, apatah lagi menuduh, mengecam ataupun memfitnah kononnya mereka ini punca berlaku malapetaka.

Dalam keadaan gawat akibat penularan pandemik COVID-19 yang meresahkan seluruh dunia, kita perlu mendoakan supaya mereka yang dijangkiti supaya segera sembuh, bukannya memulau dan mengecam mereka.

Realitinya, mereka ini bukannya penjenayah, sebaliknya insan yang diuji Allah SWT dengan ujian besar.

Rasulullah SAW bersabda: “Bukanlah seseorang mukmin itu menjadi pencaci dan pelaknat, bukan juga yang suka berkata kotor atau lidahnya suka menyebut kata-kata hina.” (Hadis riwayat Bazzar dan Hakim)

Baginda juga bersabda: “Tidak akan masuk syurga orang yang suka memfitnah.” (HR Bukhari dan Muslim)

Akhir-akhir ini, kes COVID-19 meningkat semula di seluruh negara. Setiap kali ada kes baharu dilaporkan, orang ramai mula membuat tohmahan melulu kepada pesakit yang dijangkiti, keluarga serta waris mereka.

Ia seolah-olah ‘budaya’ dalam norma baharu. Menyedihkan, bahasa digunakan tidak menggambarkan budaya Timur dan budi bahasa bangsa Malaysia yang lemah-lembut.

Dalam pelbagai medium di media sosial, ratusan mesej menceritakan tekanan dialami waris pesakit positif COVID-19. Mereka yang bekerja di premis berkenaan turut menerima tempias.

Ini ketakutan melampau yang tidak sepatutnya berlaku. Amat menyedihkan apabila orang ramai bertindak sedemikian seperti memulaukan mereka yang ada kaitan dengan premis tempat kerja yang berlakunya kes kakitangan positif COVID-19.

Paling teruk, ada anak-anak pesakit digelar sebagai anak COVID-19. Ia menunjukkan betapa salah faham sangat besar bermain dalam minda masyarakat mengenai COVID-19.

Mereka yang dikesan sebagai kontak rapat atau mempunyai hubungan terus dengan kes, sama ada makan bersama, mesyuarat bersama, bersalam atau bercakap – seperti dijelaskan Kementerian Kesihatan (KKM).

Sudah tentu, individu paling rapat ialah keluarga sendiri atau rakan sepejabat, bukannya seluruh kakitangan di sesebuah bangunan besar.

Kontak rapat dianggap berisiko hingga perlu disaring dan dikuarantin wajib selama 14 hari mengikut tarikh akhir pendedahan. Apabila dikuarantin, penularan penyakit dalam masyarakat tidak akan berlaku kecuali mereka melanggar perintah kuarantin. Mana-mana kontak selain kontak rapat, hanya diminta kuarantin kendiri.

Tindakan pemulauan bukan saja tidak memberi faedah, bahkan menggugat keharmonian masyarakat.

Sindiran, kecaman dan tuduhan melampau boleh menyebabkan tekanan hebat kepada pesakit dan keluarga mereka. Ini diskriminasi yang tidak sepatutnya berlaku sama sekali.

Bukankah Islam amat melarang perbuatan keji berpunca daripada lidah seperti mengecam, mengutuk dan memfitnah yang tidak termasuk dalam adab susila kesopanan Islam.

Allah SWT juga melarang perbuatan keji terhasil daripada lidah seperti firman-Nya: “Wahai orang beriman! Janganlah sesuatu kaum (daripada lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan kaum lain (kerana) kemungkinan kaum dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu kaum (daripada perempuan) mencemuh dan merendah-rendahkan kaum lain (kerana) kemungkinan kaum dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya lain; dan janganlah juga kamu memanggil antara satu sama lain dengan gelaran buruk. (Larangan itu menyebabkan orang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruk sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman. Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak bertaubat (dari perbuatan fasiknya) maka merekalah orang zalim.

“Wahai orang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain; dan janganlah kamu mengumpat sesetengahnya lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan itu) dan bertakwalah kamu kepada Allah taala. Sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.” (Al-Hujurat: 11-12)

Rangkaian nas itu cukup membuktikan Islam amat melarang keras sebarang perbuatan keji terbit daripada lidah tidak bertulang itu. Ini kerana natijahnya amat berbahaya bukan saja kepada individu, bahkan masyarakat.

Pada masa sama, Allah SWT memerintahkan umat Islam menapis dan menyaring terlebih dulu sebarang khabar berita atau fitnah tersebar sama ada surat layang, berita dalam media sosial atau media arus perdana supaya kita tidak terperangkap dengan jerangkap dosa merugikan mereka kelak.

Akhirnya, alangkah baiknya jika kita semua bekerja keras mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan duduk di rumah saja jika tiada keperluan penting atau sangat mendesak, bukannya bekerja keras untuk mengecam, memfitnah dan memulaukan sesiapa.

Apatah lagi bekerja keras untuk menyebarkan berita palsu menambahkan kerisauan masyarakat dan menggugat keharmonian negara. Bekerja keraslah untuk berdoa moga pesakit sembuh dengan izin Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda: “Doa seorang Muslim kepada saudara Muslimnya secara ghaib (tanpa pengetahuan saudaranya) adalah mustajab (diterima), di sisi kepalanya malaikat yang diutus Allah setiap kali dia mendoakan saudara Muslimnya dengan doa yang baik dan berkatalah malaikat itu, amin! engkau juga beroleh manfaat yang sama.” (HR Muslim) – Berita Harian

Penulis adalah Profesor di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *