home Semasa Tiada solat Jumaat dalam tempoh PKPB di seluruh Selangor

Tiada solat Jumaat dalam tempoh PKPB di seluruh Selangor

 

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menangguhkan solat Jumaat, solat lima waktu berjemaah dan lain-lain aktiviti pengimarahan di seluruh masjid serta surau di Selangor dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, mulai hari ini hingga 27 Oktober depan.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad, berkata JAIS membuat keputusan dan menetapkan bagi semua pentadbir masjid dan surau seluruh Selangor untuk menangguhkan semua aktiviti itu susulan pengumuman oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)

“Penangguhan ini akan membabitkan 425 masjid, 278 surau kebenaran solat Jumaat dan 1,747 surau.

“Tindakan penangguhan ini dibuat selaras dengan penguatkuasaan PKPB di Selangor bagi mengekang penularan kes COVID-19 yang membimbangkan dari terus menular dalam kalangan masyarakat di Selangor.

“Keputusan ini selari dengan hasrat JAIS dalam memastikan pentadbir masjid dan surau di Selangor dapat memberi kelangsungan keselamatan, kesejahteraan dan perlindungan terhadap anak kariah masing-masing dari menerima sebarang kesan penularan wabak dan penyakit, khususnya wabak COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd Shahzihan berkata, pentadbir masjid dan surau seluruh Selangor hendaklah memastikan solat Jumaat tidak dilaksanakan sepanjang penangguhan ini, sebaliknya digantikan dengan solat Zohor di kediaman masing-masing.

“Solat fardhu berjemaah lima waktu hendaklah dilaksanakan dengan had bilangan jemaah tidak melebihi tiga orang sahaja, manakala azan hendaklah dikumandangkan pada setiap waktu.

“Aktiviti pengimarahan seperti kuliah Maghrib, kuliah Subuh dan kuliah Dhuha serta aktiviti agama yang lain juga hendaklah ditangguhkan buat sementara, berkuatkuasa pada waktu Subuh hari ini,” katanya.

Beliau berkata, sebarang perubahan kepada penangguhan ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Ahli jemaah juga dinasihatkan untuk terus berhati-hati, terus berdisiplin dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) dan melaksanakan kawalan kendiri dalam kehidupan seharian di lingkungan sektor-sektor yang masih dibuka.

“Semoga langkah-langkah pencegahan, doa dan zikir yang diamalkan akan melindungi Selangor dan negara dari wabak ini dan mengembalikan kita semua kepada suasana kehidupan yang normal dan sejahtera,” katanya.-Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *