home Semasa Tuntutan berakhlak mulia melangkaui budaya, agama

Tuntutan berakhlak mulia melangkaui budaya, agama

 

AKSIOLOGI ialah sistem untuk menilai gerak geri atau tingkah laku manusia, sama ada maaruf atau mungkar. Penilaian ini tidak memerlukan batasan masa dan tempat.

Nilai dalam Islam berdasarkan wahyu dan kehendak Allah SWT berpandukan kepada dua perkara. Pertama melakukan perkara yang wajib adalah disuruh dan disukai oleh Allah SWT, serta akan mendapat ganjaran pahala atas kebaikan dilakukan. Kedua, perbuatan yang haram akan dibenci Allah dan akan mendapat pembalasan buruk.

Kita hendaklah sentiasa mengawal diri supaya tidak melakukan perkara yang tidak disukai Allah SWT. Contohnya ibadah solat wajib dilakukan di mana jua kita berada sama ada di dalam kapal terbang atau sebagainya.

Terdapat lima kategori nilai bagi mengawal pergerakan dan tingkah laku manusia iaitu fardu atau wajib, sunat, mubah (harus), makruh dan haram.

Perkara terpenting dalam kehidupan bagi seseorang Muslim ialah mempunyai nilai moral yang tinggi. Nabi Muhammad SAW adalah contoh ikutan terbaik bagi umat manusia.

Allah SWT berfirman maksudnya “Dan kamulah yang mempunyai moral yang tinggi”.(surah al-Qalam, ayat 4).

Hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasullullah SAW bersabda: Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak (HR Al-Baihaqi).

Selain itu Rasullullah SAW juga bersabda, “Terdapat seorang lelaki sedang berjalan lalu dia berasa haus, maka dia turun ke sebuah perigi dan minum daripadanya. Apabila dia keluar, terdapat seekor anjing yang sedang mengeluarkan lidahnya lalu menjilat tanah kerana kehausan. Maka dia berkata: Anjing ini kehausan sepertimana aku alami sebentar tadi. Disebabkan itu, dia memenuhkan kasutnya dengan air dan dia memegang kasutnya (yang diisi dengan air) dengan mulutnya. Kemudian dia memberi anjing itu minum. Dengan itu, dia bersyukur kepada Allah SWT maka Allah SWT mengampuninya”. Mereka (para sahabat) bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, adakah bagi kami ganjaran jika kami berlaku baik pada haiwan?”. Rasulullah SAW bersabda: “(Berbuat baik) Setiap yang bernyawa itu akan diberi pahala”. (HR al-Bukhari)

Dalil di atas jelas menunjukkan asas epistemologi moral dalam Islam. Agama Islam sendiri diturunkan sebagai sistem hidup yang lengkap untuk setiap manusia menghayati dan mengamalkan nilai adab moral Islam.

Melalui penghayatan itu, manusia akan mencapai matlamat utama iaitu ‘mardhatillah’ yakni mendapatkan keredhaan Allah SWT.

Kekuatan moral dan keutuhan sifat kerohanian dalam Islam adalah pemangkin dan penggerak kepada masyarakat Islam untuk lebih berani berdepan dengan perubahan dan cabaran dalam kehidupan masyarakat dewasa ini.

Konsep mardhatillah menurut pandangan Islam ialah untuk mendapat keredaan Allah SWT. Segala aspek kehidupan manusia sama ada hubungan dengan Allah SWT (huquq Allah), hubungan manusia dengan manusia (huquq adamiyyin) dan hubungan manusia dengan makhluk (huquq al-ibad) adalah berpaksikan kepada mardhatillah.

Aksiologi dalam Islam amat berbeza dengan nilai dan etika negara Barat kerana ia berasal daripada sumber ketuhanan, yakni wahyu daripada Allah SWT. Oleh itu, sistem ini tidak dapat diubah atau dimanipulasi supaya sesuai dengan keinginan kita.

Konsep aksiologi tidak dipengaruhi norma budaya, kerana Allah yang menentukan segala-galanya. Al-Quran sangat terperinci dan dengan jelas menyebutkan pentingnya akhlak yang baik, sama seperti yang menyebut tentang pentingnya kepercayaan, ibadah, dan semua urusan harian kita.

Al-Quran juga menyebut beberapa akhlak yang baik berulang kali. Contohnya, berbuat baik dengan ibu bapa dengan cara yang terbaik, berbaik terhadap saudara-mara dan jiran tetangga, berbuat baik kepada anak yatim dan orang miskin, jujur, bersikap ikhlas dalam semua perbuatan yang kita lakukan.

Konsep kerohanian dalam Islam bertujuan memelihara status manusia sebagai khalifah Allah SWT yang sentiasa meletakkan pencapaian keredhaan Allah sebagai matlamat utama dalam hidup.

Asas aksiologi Islam yang paling kukuh bagi mencapai matlamat itu adalah keimanan yang utuh terhadap Allah SWT.

Keimanan adalah asas konsep kerohanian. Untuk mencapai keimanan yang tinggi memerlukan kepada ilmu pengetahuan dan epistemologi yang tinggi supaya dengan keimanan dan penyerahan kepada Allah SWT akan mencapai matlamat hidup yang utama iaitu mengejar keredhaan Allah.

Keimanan dan ketaatan seseorang kepada perintah Allah bergantung kepada ilmu epistemologi Islam. Sejauh mana ilmu dan penghayatan seseorang, maka bertambahlah keimanan dan kepatuhan seseorang terhadap Allah SWT.

Contohnya orang yang berilmu dan beriman akan patuh dengan tuntutan solat, manakala yang tidak beriman akan meninggalkan solat. Keimanan yang utuh menyebabkan timbul rasa kesedaran dan penyerahan diri dalam beribadat dan melalui tazkiah annafs (membersihkan diri) dengan matlamat ke arah mardhatillah.

Apabila seseorang itu menyerahkan diri kepada Allah SWT secara tersendirinya seseorang itu akan mendapat nilai spiritual untuk pembersihan jiwa.- Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *