home Semasa Jauhi restoran yang meragukan

Jauhi restoran yang meragukan

 

1. SEBUAH restoran terkenal di Subang Jaya kelmarin diserbu kerana disyaki menyajikan menu mi kari yang mengandungi daging babi. Hasil pemeriksaan KPDNHEP mendapati premis berkenaan mempunyai sijil halal JAKIM yang masih dalam tempoh sah sehingga 30 November 2020. (Sinar Harian)

2. Sebahagian produk atau pengeluar makanan memang akan mempamerkan sijil halal mereka. Namun sekiranya kita ragu-ragu, maka tinggalkanlah perkara yang meragukan tersebut. Sabda Rasulullah:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لَا يَرِيبُكَ

“Tinggalkanlah perkara yang meragukan kepada perkara yang tidak meragukan.” (HR al-Tirmizi)

3. Al-Imam Ibn Rajab menjelaskan bahawa jiwa orang beriman berupaya untuk merasai keraguan atau syubhat sesuatu perkara. Kata Ibn Rajab:

وَأَمَّا الْمُشْتَبِهَاتُ فَيَحْصُلُ بِهَا لِلْقُلُوبِ الْقَلَقُ وَالِاضْطِرَابُ

“Dan adapun perkara yang syubhat itu boleh diketahui oleh hati melalui perasan tidak tenteram.” (Jami’ al-Ulum)

4. Dengan itu sekiranya kita berasa tidak tenteram dengan sesuatu produk atau restoran, maka tinggalkanlah produk atau restoran tersebut. Ini kerana menjaga makan ini juga adalah sebahagian dari urusan agama juga.

5. al-Imam al-Ghazali pernah menukilkan pandangan dari al-Imam Ahmad yang menyatakan bahawa isu pemakanan adalah sebahagian dari urusan agama. Ini kerana Allah mengaitkan makanan yang halal dengan urusan ibadah. Kata al-Imam Ahmad:

أما علمت أن الأكل من الدين قدمه الله تعالى على العمل الصالح فقال: “كلوا من الطيبات واعملوا صالحاً

“Tidakkah kamu ketahui bahawa urusan makanan ini adalah sebahagian dari agama. Dalam al-Quran, Allah menyebut urusan makanan dahulu sebelum amal soleh. Firman Allah: “Dan makanlah makanan yang baik kemudian lakukanlah amal soleh.” (Ihya Ulumuddin)

6. Berhati-hati dalam menyuapkan makanan yang menjadi darah daging kita. Seorang Tabi’i yang masyhur Yusuf ibn Asbat pernah memberikan perumpamaan yang menarik berkenaan penjagaan makanan ini. Kata beliau:

إذا تعبد الشاب يقول إبليس: انظروا من أين مطعمه؟ فإن كان مطعمه مطعم سوء، قال: دَعُوه، لا تَشتغلوا به، دَعُوه يجتهد ويَنْصَب، فقد كفاكم نفسَه

“Sekiranya seorang pemuda sibuk beribadah, maka Iblis akan berkata: “Cuba perhatikan apa yang dia makan? Sekiranya dia makan dari makanan yang jahat (kotor), maka tidak perlu kita ganggu dia. Biarlah dia beribadah (dan dalam badannya penuh dengan makanan kotor), kerana makanan yang kotor itu telah memadai buat kita.” (al-Bayhaqi, al-Zuhd al-Kabir)

7. Lihatlah perumpaman yang diberikan oleh Yusuf ibn Asbat ini. Sehinggakan Iblis pun tidak mengganggu hamba yang sibuk beribadah sekiranya makanan mereka kotor kerana makanan yang tidak baik itu telah cukup merosakkan Muslim, luar dan dalam.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *