home Semasa Larangan jual arak: Pastikan tiada campur tangan politik

Larangan jual arak: Pastikan tiada campur tangan politik

 

BANGI – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mesti berpegang teguh dengan garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras yang diumumkan baru-baru ini.

Sebelum ini, DBKL memperkenalkan garis panduan baharu antara lain menetapkan bahawa kedai runcit dan kedai serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober tahun depan.

Bagaimanapun berdasarkan garis panduan itu, pengecualian dibuat untuk penjualan alkohol bagi tujuan perubatan tradisional.

Menurut DBKL dalam Garis Panduan Lesen Minuman Keras, berkuat kuasa tarikh sama, tiada lagi lesen baharu minuman beralkohol yang memabukkan (LMK) dibenarkan diperbaharui untuk semua kedai runcit, kedai serbaneka dan ubat Cina.

Katanya, lesen pembaharuan hanya dibenarkan sehingga 30 September 2021 sahaja.

Meskipun menyambut baik keputusan berkenaan, Ketua Media Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Haji Rashidi Haris mengingatkan DBKL supaya teguh dengan keputusan itu, jangan sampai berubah apabila ada campur tangan politik kelak.

“Walaupun akan dilaksanakan tahun hadapan, namun usaha ke arah membasminya sudah terlihat dan diharap DBKL terus istiqamah menunaikan garis panduan ini.

“Jangan pula nanti disebabkan campur tangan politik akhirnya garis panduan ini terpaksa diubah lagi atau kembali kepada keadaan yang lebih teruk lagi,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Pada masa sama, beliau menggesa semua pihak menyokong garis panduan baharu demi kebaikan semua serta berharap isu berkenaan tidak dipolitikkan seperti yang dilakukan oleh Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai.

Terdahulu, Kok Wai dilaporkan berkata, peraturan baharu itu melanggar hak orang bukan Islam untuk mengamalkan budaya mereka, yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, peraturan baharu itu juga dilihat ‘antiperniagaan’ dan yang menjadi korban adalah peniaga yang mematuhi undang-undang dan membayar cukai.

Sehubungan itu, Haji Rashidi menjelaskan, larangan penguatkuasaan berkenaan tidak bermakna masyarakat bukan Islam tidak dibenarkan minum minuman keras sebaliknya lebih kepada untuk mengawal penjualan berkenaan mengikut garis panduan undang-undang yang ditetapkan.

“Namun begitu, kita yakin agama-agama lain juga melarang meminum arak yang boleh memudaratkan peminum mabuk hingga tidak sedarkan diri.

“Selain itu, langkah DBKL ini secara tidak langsung dapat membendung penyalahgunaan penjualan minuman keras, dan mengurangkan kemalangan yang menyebabkan kecederaan dan kematian akibat dari pemandu mabuk,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my
 
—-—
 
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
 
https://www.billplz.com/indahnyaislam
 
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)
text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *