home Semasa Laung azan ikhtiar selamat rumah ketika ribut

Laung azan ikhtiar selamat rumah ketika ribut

 

JERTIH: Seorang lelaki hanya mampu melaungkan azan ketika ribut membadai kediaman ibu mentuanya di Kampung Tok Saboh di Kuala Besut, dekat sini, petang semalam.

Tindakan Che Mohd Amran Che Kamaruddin, 42, itu sebagai ikhtiar untuk meredakan ribut selepas kediaman itu tidak berhenti bergegar dibadai angin kencang dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu.

“Saya sempat laungkan azan ketika bumbung rumah tempat kami berlindung hampir terangkat, sebelum pokok besar tiba-tiba tumbang menimpa rumah,” katanya ketika ditemui.

Kediaman itu antara kira-kira 80 rumah yang terjejas di tujuh kampung sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut dalam kejadian ribut semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Amran berkata, ketika kejadian dia baru sahaja memasuki rumah selepas pulang daripada bekerja.

“Kami sekeluarga tinggal bersama mentua, tetapi ketika ribut melanda semua tumpang berlindung di rumah keluarga yang terletak bersebelahan.

“Memang kami jangka pokok itu akan tumbang kerana ribut terlalu kuat, namun tidak sangka terbalik sampai terkeluar akar pokok berusia lebih 40 tahun itu ditolak angin kencang,” katanya.

Ibu mentuanya, Rusnah Che Mat, 52, berkata ia kejadian pertama ribut yang menumbangkan pokok sehingga merosakkan rumah pusaka milik keluarga yang dihuni lebih 40 tahun itu.

“Saya tinggal tujuh beranak termasuk suami, anak, cucu menantu. Walaupun rumah rosak teruk, saya bersyukur tiada ahli keluarga yang cedera.

“Rumah ini baru sahaja dibaiki tidak sampai setahun hasil bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM),” katanya.

Seorang lagi mangsa, Wan Nur Shahirah Aishah Wan Mohamed, 27, berkata angin kencang menyebabkan rumah didiaminya ibarat dilanda gempa bumi dengan kipas tidak berhenti bergoyang, manakala lantai habis basah dimasuki air hujan.

“Ketika itu, saya dan suami hanya bimbang jika rumah kami ranap kerana angin memang terlalu kencang,

“Suami segera arahkan saya dan dua anak keluar dan berlindung sementara di rumah jiran. Ketika itu baru saya perasan lebih 80 peratus bumbung rumah tercabut dibawa angin kencang,” katanya.

Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh, mengesahkan kejadian ribut yang berlaku dan pihaknya mengambil inisiatif membaiki rumah penduduk secepat mungkin bagi memastikan mereka ada tempat untuk berteduh. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *