home Semasa Tanda-tanda hampir kiamat

Tanda-tanda hampir kiamat

 

RASULULLAH SAW bersabda yang maksudnya: “Antara tanda hampirnya kiamat ialah ilmu agama diangkat, tersebarnya kebodohan agama, arak diminum bebas dan zina berleluasa (Riwayat Al-Bukhari).

Dalam hadis di atas, Rasulullah SAW menjelaskan kepada kita bahawa apabila ramai alim ulama yang meninggal, apabila ramainya orang-orang yang jahil tentang agama, apabila arak boleh diminum secara bebas dan apabila zina bebas dilakukan, maka bermakna hari kiamat sudah hampir.

Dalam minggu lepas, kita dikejutkan dengan dengan satu berita di mana negara Emiriah Arab Bersatu (UAE)telah mengubah undang-undang di negara tersebut. Jika sebelumnya pengambilan arak ada kawalan tetapi dengan undang-undang baharu, kebebasan diberi asalkan ia melibatkan mereka yang berumur 21 tahun, minum di tempat tertutup atau lokasi awam berlesen.

Ini bermakna, arak boleh dibeli dengan bebas dan boleh dibawa ke rumah atau ke pejabat atau di mana sahaja asalkan di tempat tertutup dan tidak lagi memerlukan lesen sebagaimana sebelumnya.

Selain itu, pasangan yang belum berkahwin juga dibolehkan untuk tinggal serumah atau sebilik. Ia bukan lagi menjadi satu kesalahan besar di negara tersebut. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana nanti suasana di negara tersebut setelah undang-undang ini dikuatkuasakan.

Dalam situasi kita diuji dengan pandemik Covid-19, yang mana pada saat ini kita amat mengharapkan limpah rahmat ALLAH kepada hambaNya di muka bumi ini, tiba-tiba berlaku sesuatu yang amat mendukacitakan sekali.

Bagaimana rahmat ALLAH akan diturunkan ke muka bumi ini jika apa yang dilarang dalam al-Quran dan hadis sudah diketepikan begitu sahaja. Segala yang haram sudah dihalalkan dan kebebasan diberi untuk meminum arak dan berzina.

Bayangkan bagaimana keadaannya nanti jika pemandu mabuk menggunakan jalan raya. Saya pernah ke negara tersebut dan apabila menaiki teksi, pemandunya memang memandu dengan cara yang sangat menakutkan. Bayangkan keadaannya jika pemandu tersebut di bawah pengaruh arak, apa akan jadi agaknya?

Bayangkan juga jika suami dan bapa balik dalam keadaan mabuk. Apa yang akan terjadi pada anak-anak dan isteri? Bayangkan juga jika isteri dan anak-anak masing-masing bebas meminum arak, apa akan jadi dalam keluarga tersebut? Bayangkan jika semua itu berlaku dalam keluarga Muslim.

Apa akan jadi pada anak-anak Muslim apabila mereka tidak lagi dianggap bersalah dari segi undang-undang jika mereka tinggal bersama pasangan mereka walaupun tanpa ikatan perkahwinan?

Tidakkah kelonggaran itu akan mendorong suami dan isteri untuk berlaku curang di luar rumah dengan mudah. Institusi keluarga akan hancur lebur jika perkara ini benar-benar berlaku.

Alangkah sedih apabila undang-undang yang dahulunya agak ketat terhadap kedua-dua perkara tersebut tetapi kini dilonggarkan.

Ia seolah-olah memberi lesen besar kepada masyarakat di sana untuk melakukan kedua-dua perkara yang dilarang keras dalam Islam.

Apa yang terjadi itu sepatutnya membangkitkan kesedihan dan kemarahan umat Islam seluruh dunia.

Namun pada pemerhatian saya, kesedihan dan kemarahan umat Islam tidak sehebat kemarahan mereka kepada kerajaan Perancis baru-baru ini berhubung kes penghinaan terhadap Rasulullah SAW. Betapa marahnya umat Islam kepada kerajaan Perancis sehingga ditularkan kempen memboikot barangan buatan Perancis.

Bukankah apa yang berlaku di UAE itu juga satu penghinaan kepada ALLAH dan Rasulnya? Marilah kita sama-sama tepuk dada kita dan tanya iman kita dalam hal ini.- Sinar Harian

 *Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah

www.indahnyaislam.my
 
—-—
 
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
 
https://www.billplz.com/indahnyaislam
 
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)
text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *