home Semasa Elak beli daging import buat seketika

Elak beli daging import buat seketika

 

IPOH: Umat Islam disaran menggunakan kuasa pengguna dengan tidak memakan daging import khususnya lembu buat sementara waktu sehingga keyakinan mengenai status halal daging terbabit diperakui sepenuhnya.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim, berkata orang ramai boleh menggunakan kuasa mereka itu sehingga penjual serta pengusaha hasil produk itu ‘akur’ dengan keperluan status halal.

Katanya, kuasa pengguna juga boleh digunakan untuk mewujudkan gerakan supaya siasatan telus dapat disegerakan berhubung kontroversi penjualan daging import diragui status halalnya.

“Umat Islam boleh terus membeli daging lembu tempatan (seperti biasa) yang mana di samping dapat mengelakkan keraguan mengenai status halalnya, ia juga dapat membantu penternak lembu tempatan.

“Gelombang yang diwujudkan juga berperanan supaya urusan proses import daging atau makanan lain dilakukan dengan menepati piawaian sijil halal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas tindakan harus dilakukan pengguna susulan pihak berkuasa membongkar perbuatan kartel penjual daging import yang menjual daging diragui status halalnya minggu lalu.

Zamri berkata, jika umat Islam masih ada rasa ragu, mereka perlu berhenti sementara membeli daging import di pasaran berpandukan hadis Nabi Muhammad SAW supaya meninggalkan sebarang keraguan dalam urusan seharian.

Beliau berkata, bagi mengelakkan keraguan, umat Islam perlu mendapatkan maklumat sahih dan tidak tergesa-gesa menyebarkan laporan yang belum ditentukan kesahihannya

“Pihak berwajib juga diharap mengumumkan jenama daging terbabit dalam pemalsuan sijil halal selain menyegerakan siasatan supaya pihak terbabit diheret ke muka pengadilan,” katanya. -Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *