home Semasa Elak label plandemik, sunnah WHO

Elak label plandemik, sunnah WHO

 

KEBELAKANGAN ini, kita semakin sering mendengar keluhan dan kritikan masyarakat terhadap penutupan masjid dan surau di kawasan zon merah, arahan mengehadkan jumlah jemaah solat termasuk Jumaat serta menjarakkan saf.

Suara kritikan juga semakin lantang terhadap sekatan sekatan kuliah agama dan kegiatan mengimarahkan masjid serta surau, sekali gus mengundang reaksi berbeza yang menjadi isu diperdebatkan dalam kalangan umat Islam.

Sebahagiannya, menerima prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu itu dengan menganggapnya sebagai ujian Allah SWT

Bagaimanapun, tidak kurang ada yang membuat andaian pandemik COVID-19 itu sebagai plandemik hingga mengkritik fatwa dengan menganggapnya bercanggah daripada syariat dan menuduhnya sebagai kesan daripada fitnah dajal.

Dakwaan berat ini menunjukkan kepincangan kefahaman umat Islam yang mudah menjatuhkan hukum dengan melabelkan pihak berkuasa agama dan ulama terlalu berkiblatkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hingga sanggup mengabaikan syiar agama.

Dekan Kulliyyah Syariah dan Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UNISHAMS), Dr Akli Ahmad, berkata ada yang tersasar dalam memahami amalan norma baharu berikutan negara masih berada dalam ancaman COVID-19.

“Ada banyak norma baharu terkait ibadat seperti solat di masjid dalam keadaan mulut ditutup (menggunakan pelitup muka), tidak boleh berjabat tangan dan penjarakan saf satu meter.

“Apabila fatwa sedemikian dikaitkan fitnah dajal, kefahaman ini tersasar kerana pihak terbabit hanya melihat daripada sudut satu nas sahaja tanpa mengambil kira kombinasi atau keperluan memerhatikan nas lain, sama ada mentakhsiskan (mengkhususkan) atau mengecualikan,” katanya pada Ucaptama Webinar Fiqh Pandemik.

Akli ketika membentangkan Keabsahan Fatwa COVID-19 melalui Aplikasi Prinsip al-Darar Yuzalu berkata, semua fatwa dikeluarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bertepatan dengan syariat dengan berlatarbelakangkan kaedah usuliyyah dan fiqhiyyah.

“Antara alasan mengaitkan fatwa atau amalan norma baharu sebagai fitnah dajal disebabkan ia tidak sebagaimana suruhan Nabi Muhammad SAW (secara literal).

“Misalnya, hujahan mengenai penjarakan saf kerana Nabi SAW menyebut rapatkan saf dalam satu hadis masyhur, sekali gus ada yang melabelkan arahan penjarakan fizikal terbabit sebagai ‘sunnah WHO’,” katanya pada webinar anjuran Akademi Fiqh Islami Malaysia (AFHAM) dengan kerjasama International Fatwa and Halal Centre (iFFAH), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Akli berkata, setiap hukum dikeluarkan mesti didasari kaedah usuliyyah (usul fiqh) yang menjadi akar, manakala setiap fatwa dikeluarkan pada dasarnya adalah sunnah Nabi SAW tetapi dengan menggabungjalinkan pelbagai dalil.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Kedah berkata, dasar fatwa pandemik ialah prinsip kemudaratan hendaklah dihapuskan (al-dharar yuzalu).

“Ini kerana wabak COVID-19 boleh menyebabkan terkorban nyawa yang terbukti dengan jutaan manusia di seluruh dunia meninggal dunia disebabkan jangkitannya yang berlaku dengan izin Allah SWT.

“Berdasarkan angka besar ini, kita boleh secara zan al-ghalib (sangkaan didokong dalil atau mana-mana petunjuk kuat) bahawa ia amat berbahaya dan masuk dalam kategori al-dharar yuzalu,” katanya.

Beliau berkata, gabung jalin antara al-Quran dan hadis akan menyempurnakan fatwa pandemik ini, iaitu ayat al-Quran menyebut ‘Jangan kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan,’ dan hadis ‘Jangan memudaratkan diri sendiri dan orang lain.’

“Jika kita letak kefahaman ad-dharar yuzalu bagi isu penjarakan saf, biasanya akan berlaku sentuhan apabila saf dirapatkan yang lazimnya akan menyebabkan jangkitan.

“Justeru, penjarakan saf hakikatnya sunnah Nabawiyah pada era pandemik adalah benar dan sahih,” katanya.

Fatwa dikeluarkan pihak berkuasa negeri, kata Akli, perlu dipatuhi walaupun ada pandangan berbeza kerana apabila pemerintah menetapkan satu keputusan seperti sultan perkenankan fatwa demi menjaga maslahah rakyat, ketika itu ketaatan kepada ulil amri bersifat perlu serta tidak wajar dinafikan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin, berkata terdapat segelintir ilmuwan mempersoalkan kononnya kita lebih takutkan virus COVID-19 berbanding Allah SWT hingga menyeru orang ramai agar meneruskan aktiviti agama di masjid seperti biasa.

“Pandangan ini tidak tepat kerana gagal memahami pertimbangan hukum syarak dalam konteks pertembungan antara mafsadah (keburukan) dengan maslahah (kebaikan).

“Lahirnya pandangan sedemikian juga berpunca kegagalan memahami nas syarak secara mengangkat ciri-ciri taysir dan raf’ul harj pada pensyariatan Islam,” katanya.

Mohd Hapix ketika membentangkan ucaptama Kawalan Penularan Wabak Merbahaya Menurut Perspektif Siasah Syar’iyyah berkata, tindakan kerajaan mengawal penularan COVID-19 melalui penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ialah ijtihad dan dasar keselamatan kerajaan dibuat berasaskan penyelidikan berautoriti.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Kedah dan Pulau Pinang berkata, keputusan berkenaan perlu diutamakan berbanding pandangan ilmuwan dan ulama lain yang memberikan pandangan berbeza.

“Langkah penguatkuasaan PKP ialah keputusan siasah syariyah tegas demi menjaga kemaslahatan orang ramai daripada dijangkiti COVID-19 dan kaedah pencegahan terbaik menghentikan penularan wabak,” katanya.

Beliau berkata, siasah syariyah ialah bentuk ijtihad diterajui waliyul amri (pemimpin) yang berkaitan maslahah umum atau maslahah negara, sekali gus berbeza ijtihad individu.

“Dalam mengutamakan antara maqasid nyawa dengan maqasid solat, menjaga nyawa tidak boleh dikompromi kerana sekali kena bencana, nyawa tidak akan ada ganti,” katanya.

Menyentuh isu solat jemaah, katanya, keputusan fatwa termasuk penjarakan saf dan had bilangan jemaah dibuat mengambil kira kepentingan menjaga nyawa seluruh umat Islam di negara ini.

“Dalam konteks ini, pihak waliyul amri dalam keputusan fatwa terpaksa memilih sama ada benarkan solat jemaah di masjid yang hukumnya bukan wajib dengan menjaga nyawa.

“Solat juga tidak semestinya dibuat di masjid, tetapi boleh solat di rumah atau solat jemaah boleh dilaksanakan dengan penjarakan fizikal,” katanya.

Katanya, SOP penjarakan saf bukan bersifat keputusan individu atau khusus kepada golongan ustaz dan jemaah tetap, tetapi demi memelihara kira-kira 64 peratus umat Islam di negara ini.

“Apabila ada bertanyakan perbezaan antara solat dengan penjarakan dengan merapatkan saf, kita katakan bahawa ia tidak bermaksud melarang atau mencegah mengerjakan solat, tetapi syiar solat masih dilaksanakan cuma dari segi tertib sah itu termasuk dalam urusan tahsiniyat.

“Penjarakan dalam solat masih lagi sah untuk kita mendapat pahala solat berjemaah.

“Semua pihak bertanggungjawab memastikan kemudaratan COVID-19 terhenti dan berdosa bagi sesiapa yang sengaja membiarkan diri menjadi pembawa virus berkenaan ke dalam masyarakat yang sihat,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *