home Semasa Islam ajar umat santuni ibu bapa, warga emas

Islam ajar umat santuni ibu bapa, warga emas

 

BANGI – Islam mengajar umatnya mengamalkan sikap saling menghormati dan menyantuni antara satu dengan yang lain tanpa mengira bangsa, pangkat ataupun keturunan.

Sikap seperti ini perlu disemai sejak kecil, lebih-lebih lagi terhadap kedua ibu bapa.

Serentak itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menerusi khutbah Jumaat mengajak ibu bapa mengasuh anak mereka untuk beradab dengan orang lain, lebih-lebih lagi dalam keadaan dunia hari ini, manusia semakin kehilangan adab dan moral dalam kehidupan mereka.

Katanya, tuntutan berbuat baik ini juga bukanlah terhad kepada ibu bapa sendiri sahaja bahkan termasuk kepada orang yang lebih dewasa atau warga emas, sama ada mereka yang ada hubungan kekeluargaan ataupun tidak.

Ini kerana katanya, kerana warga emas juga mempunyai hak untuk mendapat kasih sayang dan penghormatan dengan menjaga hak-hak mereka.

“Khatib juga ingin berpesan dan mengingatkan para jemaah sekalian dalam kita membicarakan persoalan menghormati warga emas ini kita sebagai mukmin hendaklah sentiasa muhasabah diri kita, bagaimanakah sifat dan sikap kita dalam menghargai ibu dan bapa sebagai warga emas.

“Apakah peranan kita dalam memberi kasih sayang kepada mereka yang telah berjuang membesarkan kita. Apakah kita sekadar membiarkan mereka bersendirian bahkan ada yang sanggup membiarkan mereka di rumah perlindungan orang-orang tua. Apakah ini wajar dalam suasana pembentukan keluarga yang harmoni pada waktu ini.

“Maka oleh sebab itu, marilah kita tanamkan sikap keprihatinan dan rasa simpati terhadap ahli keluarga kita dengan memelihara perhubungan yang baik sesama ibu bapa yang semestinya dihormati dan ditaati kerana ianya mendapat pahala di sisi Allah SWT,” katanya.

Mengakhiri khutbah, JAIS mengajak umat Islam meyakini bahawa menghormati dan mengasihi warga emas adalah perintah dan tuntutan daripada Allah SWT.

“Umat Islam hendaklah menginsafi bahawa golongan warga emas seharusnya diperlakukan secara baik, disayangi dan dihormati kerana ia adalah tuntutan Islam.

“Umat Islam hendaklah sedar bahawa kita akan berada pada usia tua suatu hari nanti. Justeru berazamlah untuk mengasihi dan menjaga golongan ini,” katanya. -Ismaweb

 

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *