home Semasa Isu kahwin di India: Zulkifli minta rakyat berhati-hati

Isu kahwin di India: Zulkifli minta rakyat berhati-hati

 

SHAH ALAM – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menasihatkan umat Islam di Malaysia supaya lebih berhati-hati ketika berhadapan isu yang berkaitan status agama seseorang Muslim.

Beliau berkata, Islam menuntut umatnya untuk mengesahkan sesuatu maklumat yang diperoleh sebelum membuat sebarang pandangan dan tanggapan.

Jelas beliau, informasi yang diperolehi melalui tangkap layar rakaman video atau hantaran (posting) di media sosial adalah maklumat sekunder dan tertier yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

“Suka saya untuk menasihati diri saya dan semua umat Islam di Malaysia supaya lebih berhati-hati dalam menanggapi sebarang isu yang berlaku dengan berhemah.

“Seorang Muslim, perlu sedaya upaya memastikan Muslim yang lain kekal dalam agamanya, bukan berusaha mengeluarkannya dari agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai isu seorang wanita Malaysia yang dilaporkan telah berkahwin dengan kapten hoki pasukan negara India.

Terdahulu, perkahwinan Illi Najwa, 27, dan pasangannya, Manpreet Singh Pawar mencetuskan kontroversi apabila majlis resepsi didakwa dilakukan mengikut ritual agama lain di India.

Sementara itu, Zulkifli turut meminta semua pihak supaya bersabar dan menantikan penjelasan sebenar daripada pihak yang terlibat berhubung isu pasangan berkenaan.

“Dalam hal ini, wanita berkenaan serta ahli keluarganya jauh lebih mengetahui situasi sebenar apa yang berlaku termasuk perkara terkait dengan status agamanya dan pasangannya.

“Harapan saya adalah semoga kita dapat bersabar dan menunggu penjelasan daripada pihak berautoriti iaitu pihak berkuasa agama negeri.

“Saya yakin sebarang bentuk kemelut boleh diselesaikan dengan hikmah dan bijaksana,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rekod pengislaman seseorang adalah di bawah seliaan pihak berkuasa agama negeri.

Menurutnya, beliau dimaklumkan bahawa perkara berhubung status agama pasangan terbabit kini sedang dalam siasatan pihak berkuasa agama negeri di Johor.

“Dalam hal status agama seseorang, Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan seseorang yang berbangsa Melayu itu adalah beragama Islam.

“Oleh itu, tidak semudahnya bagi sesiapa untuk menghukum seseorang yang berbangsa Melayu itu murtad hanya berdasarkan khabar yang belum dipastikan kesahihannya,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, rakyat Malaysia beragama Islam yang membuat perkahwinan di luar negara perlu melakukan permohonan perkahwinan tersebut kepada Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju’ di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi atau Pejabat Konsul Malaysia di negara tersebut.

“Perkahwinan ini juga hendaklah didaftarkan selepas pasangan pulang ke Malaysia. Adapun perkahwinan silang agama tidak benarkan dalam perundangan Malaysia,” katanya. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *