home Semasa Kartel daging haram: Majukan industri makanan, kurangkan hasil import

Kartel daging haram: Majukan industri makanan, kurangkan hasil import

 

BANGI– Isu kartel yang menyeludup daging sejuk beku dengan memalsukan dokumen serta logo halal untuk pasaran di negara ini perlu ditangani dengan segera.

Pengguna tidak tahu label halal yang ada pada daging import berkenaan asli atau palsu, situasi ini menjejaskan pelbagai pihak. 

Justeru, menjadi keperluan untuk negara menghasilkan sumber makanan sendiri dalam kuantiti yang jauh lebih besar.

Langkah itu perlu bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada hasil import yang sukar dijamin kualitinya, kata Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Haji Omar Kassim. 

“Perkara ini menunjukkan betapa perlunya kita mengeluarkan hasil ladang dan daging sendiri, tanpa bergantung kepada hasil import. 

“Import makanan negara berjumlah kira-kira RM42 billion pada 2015 terlalu besar dan usaha memajukan industri makanan negara mesti dilakukan dengan bersungguh dan serius,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, negara didedahkan dengan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.

Hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) kartel berkenaan dipercayai menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku telah menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.

Tindakan itu dibuat bagi menyakinkan pemborong di Malaysia kononnya bekalan daging sejuk beku itu diperoleh dari negara yang dibenarkan pengimportannya sebelum dipercayai diedar ke pasaran tempatan.

Kesal dengan sikap tidak bertangunggjawab kartel, Ustaz Omar bimbang jika kita akan terus ditipu, kerana ia membabitkan soal makanan. 

“Sudah berapa banyak agaknya umat Islam diperdaya dengan daging yang tidak halal, tetapi dicop dengan logo halal.

“Pihak berkuasa baik kastam, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh berdiam diri dan mesti menyelesaikan kes ini sehingga dalang tidak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan,” katanya lagi.

Semalam, BH melaporkan kartel berkenaan menubuhkan syarikat proksi di negara ini dan dinamakan dengan nama berunsur Islamik dan keMelayuan yang boleh meraih keyakinan pengguna Islam.

Difahamkan, modal perniagaan setiap syarikat terbabit antara RM200,000 hingga RM300,000. 

Kegiatan syarikat dinyatakan dalam pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pula adalah mengimport bekalan daging, namun ada juga kegiatan yang dinyatakan langsung tiada kaitan dengan industri berkenaan. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *