home Semasa Kesatuan muslimin, bagaimana wajahnya?

Kesatuan muslimin, bagaimana wajahnya?

 

KETIKA saya mula-mula berjinak-jinak dengan subjek sejarah Islam, saya sering membayangkan umat Islam yang ideal.

Saya bayangkan satu kuasa pusat yang adil dan kuat menaungi umat Islam seluruh dunia. Umat Islam pula memberikan wala’ kesetiaan tidak berbelah bagi kepada pemerintah Islam itu. Sering diungkapkan sejak zaman saya masih lagi belajar istilah ‘زمرة القلب الواحد’ yang bermaksud jemaah manusia yang berhati satu.

Tetapi bacaan demi bacaan tidak menunjukkan yang demikian. Manusia adalah manusia. Perlu diurus sebagai manusia dan tidak ada formula lain untuk mengurusnya kecuali itu.

Bila membaca peristiwa-peristiwa yang berlaku pada enam tahun terakhir pemerintahan Saidina Osman R.A dan lima tahun pemerintahan Saidina Ali R.A, saya melihat dengan jelas bagaimana kesatuan muslimin pada masa itu boleh terganggu dengan konspirasi jahat yang halus dari pemberontak yang licik.

Gerakan Saba’iah yang berjaya menerobos masuk ke dalam jiwa orang-orang Islam yang lalai dan lurus, akhirnya menyebabkan pemberontakan sebahagian penduduk Kufah, Basrah dan Fustat terhadap gabenor masing-masing dan kerajaan pusat.

Dan dengan jelas juga boleh dilihat bagaimana gabenor yang kuat di Syams dapat membendung perpecahan dan pemberontakan itu dari berlaku di wilayah pemerintahannya.

Saidina Osman R.A menghentikan pemberontakan dengan polisi tidak menggerakkan tentera muslimin untuk bertindak sehingga membawa kepada kesyahidannya.

Yang uniknya adalah, tindakan itu memudahkan usaha menyatukan muslimin di zaman Saidina Ali R.A dan awal Bani Umayyah.

Awal pemerintahan Bani Umayyah menyaksikan kenaikan khalifah-khalifah yang bukan muslim paling afdhal di zamannya.

Tetapi mereka lebih bijak dalam siasah dan lebih ditakuti oleh musuh Islam. Satu suasana yang tidak pernah berlaku di zaman Khulafa al-Rasyidin yang sentiasa meletakkan muslim paling afdhal sebagai pemimpin.

Tetapi ulama membenarkan pendekatan itu kerana khalifah-khalifah awal Bani Umayyah itu melepasi syarat asasi sebagai pemerintah Islam walau pun ada lagi muslim lain yang lebih afdhal dari mereka di zaman itu.

Orang Islam berpindah ke kawasan baru setelah ibu negara bertukar ke Damsyiq. Masing-masing duduk di tempat baru di dalam qabilah masing-masing dalam sistem susunan pengurusan sendiri. Bahkan ada riwayat yang mengatakan perkuburan sesetengah qabilah itu juga berasingan dari qabilah yang lain. Bani Umayyah membenarkannya.

Pada akhir zaman Bani Umayyah, ketika berlaku penyelewengan sebahagian pemerintahnya, Bani Abbasiyah mengambil alih pemerintahan dengan cara revolusi. Akhirnya mereka memegang tampuk pemerintahan kuasa pusat. Yang uniknya lagi sekali adalah ulama mengabsahkan tindakan itu. Umat Islam majoritinya memberikan wala’ kepada kerajaan pusat yang baru itu.

Sejarah yang unik dan baru berlaku di zaman Abbasiyah, kita menyaksikan perpindahan Bani Umayyah ke Andalus. Ada dua kuasa pusat umat Islam berjalan seiring di satu masa; Abbasiyah di Baghdad, bumi Arab dan Umayyah di Andalus, bumi Eropah.

Islam berkembang dan semakin luas lalu menyebabkan lebih banyak krisis dalaman berlaku sesama muslimin. Asak-mengasak sesama muslimin berlaku ketika masing-masing mempertahankan wilayah Islam bersama-sama.

Kerajaan Andalus yang mula lemah dipertahankan oleh kerajaan Muwahhidun dan Murabitun dari rumpun Amazigh Afrika. Kerajaan Baghdad yang juga mula lemah dipertahankan oleh kerajaan Saljuk, Mamluk dan Ayyubiah dari rumpun Turki dan Kurdish.

Pada masa sama, kerajaan Mamluk sendiri berpecah kepada banyak qabilah sehinggakan masing-masing qabilah turun dalam peperangan Ain Jalut melawan Tatar dengan memakai baju qabilah masing-masing dan hanya dengan arahan ketua qabilah mereka sahaja.

Dan ketika kejatuhan Baghdad, ibu negara Islam, umat Islam ditadbir oleh banyak kerajaan-kerajaan kecil.

Di era kerajaan Uthmaniyah, umat Islam lebih kompleks susunannya kerana wilayah Islam ketika itu sudah seluas dua pertiga dunia menghampiri 32 juta kilometer persegi.

Bahkan, kerajaan-kerajaan Melayu Islam nusantara sendiri pada masa itu sedang berkembang naik dan berlaku banyak asak-mengasak sesama mereka.

Kita menyaksikan perselisihan antara ‘Hikayat Siak’ dan ‘Tuhfatun Nafis’ dalam merebut pewarisan rasmi kerajaan Empayar Melaka.

Dan begitulah dengan kepelbagaian rumpun Melayu yang membentuk kerajaan-kerajaan kecil sendiri dan mempertahankan Islam dengan cara mereka sendiri.

Itulah sejarah yang tidak boleh kita nafikan kerana sejarah adalah fakta yang bertutur memberikan persaksian yang sukar ditolak.

Dalam mencari kesatuan muslimin di Malaysia, banyak perkara dari sejarah silam yang kita boleh pelajari. Saya ringkaskan pandangan saya di sini sebagai lontaran untuk difikirkan.

1. Di antara ciri utama yang menyatukan umat Islam pelbagai kumpulan dahulu adalah kesatuan fikrah Islam itu sendiri.

Pemimpin yang ada mungkin berselisih sesama mereka. Bahkan umat Islam pun mungkin banyak insiden perbalahan sesama mereka.

Tetapi pegangan agama mereka amat kuat. Bahkan, penguasa yang selalu dijadikan simbol penguasa zalim iaitu Hajaj bin Yusuf ath-Thaqafi adalah seorang yang disaksikan oleh Ibnu Kathir sebagai:

وكان يكثر تلاوة القرآن ويتجنب المحارم، ولم يُشتهر عنه شيء من التلطخ بالفروج، وإن كان متسرعاً في سفك الدماء

“Hajjaj banyak membaca al-Quran dan menjauhi perkara haram. Tidak kedengaran dia melakukan jenayah zina. Cuma dia terlalu cepat dan mudah menumpahkan darah.”

Ketika saya melawat Andalus, istana-istana yang besar kita boleh lihat tersergam indah. Tetapi, sebahagian dari pemerintah Andalus banyak menghabiskan masa di atas kuda berjhad melebihi duduk di istana.

Itu rahsia bagaimana umat Islam, ulama dan rakyatnya boleh tunduk bersatu di bawah mereka.

2. Musuh dapat memecahkan kesatuan umat Islam bila umat Islam itu sendiri meninggalkan prinsip agama.

Antara yang paling kerap berlaku dalam sejarah adalah apabila umat Islam memberikan kepercayaan kepada musuh Islam.

Lihatlah sejarah Andalus. Dari satu kerajaan pusat yang kuat, berpecah kepada tujuh kerajaan kecil, kemudian berpecah lagi kepada berbelas kerajaan kecil.

Musibah berlaku apabila kebanyakan kerajaan kecil melakukan perjanjian dengan kerajaan-kerajaan Kristian untuk mempertahankan kuasa masing-masing.

Lalu, jatuhlah Toledo, Cordova serta satu demi satu bandar Islam sehingga ke akhirnya jatuhlah Granada.

3. Dalam sejarah Islam yang panjang juga kita melihat kecerdikan dan kebijaksanaan umat Islam ketika itu dalam menguruskan perbezaan sesama mereka.

Pemusatan kuasa, autonomi kerajaan kecil bahkan qabilah kecil diurus dengan halus dan cermat.

Yang paling menarik minat saya di dalam pengurusan perbezaan ini adalah cara kerajaan Mamluk menguruskan perselisihan sesama mereka.

Dalam keadaan mereka asak-mengasak sesama qabilah di dalam kerajaan, merekalah satu-satunya kuasa Islam yang dapat menumbangkan Tatar dan mengembalikan Baghdad kepada kemerdekaan.

Arahan dari pemimpin tertinggi, semuanya dilakukan melalui ketua qabilah.

Setiap qabilah kekal dengan sistem dan masyarakat masing-masing.

4. Kesatuan Islam itu mudah berlaku jika ada kuasa yang kuat.

Kekuatan adalah penyatu dalam sesetengah keadaan.

Manusia kadang-kadang hanya boleh ditundukkan dengan kekuatan kuasa.
Itulah yang diungkapkan oleh Muawiyah bin Abi Sufyan apabila beliau mengambil tanggungjawab menyatukan umat Islam: “Aku bukanlah yang paling afdhal di kalangan kamu, tetapi aku lebih ditakuti oleh musuh-musuh kamu,”

Akhirnya, apa yang diperlukan oleh Malaysia juga adalah formula yang telah terbukti berjaya digunakan oleh generasi silam untuk menyatukan mereka.

1.Kita perlu kembali kepada prinsip Islam yang sebenar dalam bentuk penghayatan hidup yang hakiki.
Islam sebagai agama yang dirujuk bukan sebagai alat kempen atau retorik semata-mata. Samada di peringkat pemimpin atau di peringkat bawahan.

2. Kita perlu memberikan kesetiaan kepada Islam dan umatnya.

Jangan berikan kesetiaan kepada musuh Islam. Jangan bersekongkol dengan mereka. Jangan jadi khadam kepada mereka dalam melaksanakan matlamat mereka sama ada secara terang-terangan atau secara sembunyi.

3. Kita perlu ada kebijaksanaan dalam meraikan perbezaan. Jangan satu kumpulan ‘makan’ kumpulan yang lain.

Bijaklah dalam berunding. Terbuka mendengar suara dari semua kumpulan Islam dan jangan membelakangi mereka. Jangan ‘culik’ pimpinan kumpulan-kumpulan Islam dengan apa juga cara.

4. Kalau jadi pemimpin; sama ada di peringkat negara atau organisasi, jadilah pemimpin yang benar-benar kuat.

Kesolehan diperlukan bila menjawab di hadapan Allah SWT di akhirat.

Tetapi, kekuatan diperlukan untuk mentadbir dan menundukkan manusia-manusia yang liar di dunia.

Imam Malik rh berkata:

لن يصلح آخر هذه الأمة إلا بما صلح به أولها

“Tidak akan baik urusan akhir umat ini kecuali dengan kaedah yang menjadikan awal umat ini baik,”

Wallahu a’lam

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Timbalan Presiden ISMA

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *