home Semasa Layanan sama terhadap yang haram

Layanan sama terhadap yang haram

 

SUDAH banyak kali rakyat Malaysia mengalami keadaan di mana sesuatu makanan atau ubatan yang sudah sekian lama dimakan dan digunakan tiba-tiba dikhabarkan bahawa produk yang diambil itu adalah haram atau mengandungi bahan membahayakan kesihatan.

Baru-baru ini tular tentang kartel daging tidak halal yang didakwa sudah berpuluh tahun menguasai pasaran daging di Malaysia. Sama ada benar atau tidak sudah bertahun-tahun kejadian itu berlaku, itu bukan isu yang saya mahu fokuskan dalam penulisan ini. Sama ada lama atau sekejap, yang haram tetap haram. Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.

Kekesalan dan kemarahan dalam kalangan orang Islam memang tidak boleh dinafikan sehingga mendorong mereka untuk memboikot daging import.

Ia adalah lumrah apabila mereka mendapat maklumat tentang sesuatu yang selama ini mereka percaya sebaliknya. Memang betul, selama ini kita sekadar berhukum berdasarkan apa yang zahir.

Kita tidak mempunyai satu keupayaan, apatah lagi kuasa untuk membuat pemeriksaan sendiri terhadap kandungan sesuatu produk atau kesahihan status halal sesuatu produk sekiranya logo yang digunakan adalah sah dan diperakui.

Bagaimanapun, apabila saya membandingkan sensitiviti mereka dengan perkara lain yang diharamkan dalam Islam, ia sangat jauh berbeza. Saya ingin membawa satu contoh yang mudah sahaja iaitu riba. Sebagaimana kita tahu, riba memang diharamkan dalam Islam, malah dalam al-Quran dinyatakan bahawa ALLAH mengisytihar perang terhadap pengamal riba.

ALLAH SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 279 yang bermaksud: “Maka, jika kamu tidak melakukan (perintah tinggalkan riba itu) maka ketahuilah ALLAH dan Rasul-Nya akan memerangimu dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu adalah pokok asal harta kamu. Kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.”

Ayat tersebut jelas menunjukkan pengharaman riba sebagaimana larangan terhadap mengambil makanan haram juga dinyatakan secara jelas dalam al-Quran.

Pengharaman mengambil makanan haram dinyatakan, misalnya dalam surah al-Maidah ayat 3 yang bermaksud: “Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain ALLAH, yang tercekik, yang terpukul, yang jatuh, yang ditanduk dan diterkam binatang buas kecuali yang sempat kamu menyembelihnya dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala.”

Umum mengetahui bahawa perbankan konvensional sudah lama bertapak di muka bumi ini termasuk bumi Malaysia. Dengan kata lain, sistem riba yang jelas diharamkan Islam sudah lama bertapak di Malaysia dan ia kekal utuh sehingga hari ini namun, tiada pun desakan atau anjuran pemboikotan terhadap apa-apa produk kewangan konvensional.

Malah, yang ada adalah kecaman dan kutukan terhadap perbankan Islam yang sememangnya diperkenalkan untuk menyelamatkan rakyat daripada terus terlibat dengan amalan riba.

Malah, jika dibuat kajian, saya yakin masih ramai umat Islam yang mempunyai akaun perbankan konvensional, memakai kad kredit konvensional dan membeli insurans konvensional.
Mereka ini jika diberi daging babi pasti akan melenting habis-habisan tetapi mereka sedikit pun tidak melenting apabila dihidangkan dengan produk-produk konvensional.

Bagi saya, dengan memberi sokongan penuh kepada produk kewangan Islam itu sudah memadai untuk menyatakan pemboikotan terhadap produk kewangan konvensional.

Apa gunanya kita berkeras dan tegas dalam bab makanan haram tetapi dalam soal yang melibatkan riba, kita masih setia dengan produk kewangan konvensional. Wallahuaklam.- Sinar Harian

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *