home Semasa Tambah baik urusan import, sembelih daging halal

Tambah baik urusan import, sembelih daging halal

 

JOHOR BAHRU: Urusan mengimport daging halal termasuk memastikan penyembelihan haiwan mengikut syarak antara aspek yang perlu diberi perhatian bagi mengelak kegiatan pemalsuan daging serta status halal tidak berulang.

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad, berkata antara langkah wajar dilaksanakan adalah mengehadkan syarikat diberi lesen mengimport daging halal dari luar negara hanya kepada syarikat milik orang Islam saja.

“Pemilikan syarikat terbabit tidak terhad sama ada ia milik penuh atau pemegang saham terbesar kerana hanya syarikat dimiliki orang Islam yang boleh memahami sensitiviti makanan halal untuk umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Yahya turut berkata, pengimport pula tidak boleh bergantung kepada pengesahan halal daripada negara pengeksport semata-mata.

“Ada sesetengah negara pengeksport yang status halal hanya dikeluarkan pertubuhan masyarakat Islam.

“Kelayakan mereka mengesahkan daging sembelihan yang halal mengikut standard masih tidak dapat diyakini sepenuhnya,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan kerajaan menghantar pegawai pengesah status halal di setiap syarikat penyembelihan dan ladang ternakan yang terpilih untuk membekalkan daging import ke Malaysia.

“Pegawai ini ditugaskan membuat lawatan ke ladang ternakan lembu dan kilang penyembelihan milik syarikat pengeksport secara berkala bagi memantau proses penyembelihan mengikut syarak,” katanya.

Beliau juga mencadangkan kerajaan mengehadkan bilangan negara pengeksport daging halal ke Malaysia selepas mengenal pasti pihak berkuasa di sana mematuhi standard kualiti serta halal ditetapkan kerajaan Malaysia.

“Bilangan negara pengeksport yang banyak menyukarkan kerajaan mengawal syarikat pembekal dari negara pengeluar mematuhi standard halal ditetapkan di negara ini,” katanya.

Katanya, pemborong dan penjual pula bertanggungjawab memastikan daging import dijual mendapat status halal tulen dan tidak dicampurkan dengan daging haiwan lain yang tidak diketahui status halalnya.-Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *