home Semasa 2 tahun mencari sinar Ilahi

2 tahun mencari sinar Ilahi

 

SEREMBAN: “Selama dua tahun saya menanti peluang menjadi saudara baharu, baru hari ini saya dapat mengucapkan dua kalimah syahadah,” kata Maisarah Abdullah, 42, ketika ditemui selepas memeluk Islam, semalam.

Menurutnya, sejak dua tahun lalu dia sentiasa mencari peluang tetapi tidak berjumpa dengan orang yang boleh membawanya menjadi Muslim sejati.

“Tidak dapat digambarkan bagaimana leganya sebaik bergelar Muslim dan benarlah kata sahabat saya, sebaik mengucapkan dua kalimah syahadah, saya seolah-olah seperti bayi yang baru dilahirkan.

“Sebaik saya dapat menghubungi seorang ustaz (Abdul Mutalib Manap), saya di bawa ke Pusat Dakwah Islamiah Paroi, akhirnya saya dapat merealisasikan hasrat yang sudah lama terpendam dan jadilah saya seorang Muslimah dan pastinya ia kenangan terindah dalam hidup saya,” katanya.

Terlebih dahulu dia memaklumkan kepada tiga anaknya berusia 13 hingga 17 tahun mengenai hasrat hati yang sudah lama terpendam dan mereka merestuinya.

“Dua anak lelaki berusia 16 dan 17 tahun berada di Singapura bekerja di sana, cuma anak bongsu perempuan tinggal bersama saya,” katanya yang juga ibu tunggal sejak lima tahun lalu.

“Saya tidak memaksa tiga anak mengikut saya memeluk Islam dan biarlah mereka membuat keputusan sendiri apabila dewasa kelak, namun saya percaya mereka akan mengikuti langkah saya memeluk agama yang suci ini,” katanya.

Maisarah berkata, dia ikhlas memeluk Islam dan mahu belajar dengan keluarga angkatnya di Gombak, Selangor.

“Selepas ini saya mahu berhijrah ke Gombak dan mahu belajar Islam lebih mendalam terutama soal solat, puasa dan semua berkaitan Islam supaya saya boleh menjadi Muslimah yang baik.

“Saya tidak ada adik beradik, juga ibu bapa dan ia memudahkan saya membuat keputusan penting selepas tertarik dengan rakan-rakan yang beragama Islam,” kata pemilik nama asal, G Puwaneswary.

Sementara itu, Abdul Mutalib, 54, yang juga penceramah bebas berkata, dia dihubungi Maisarah yang memaklumkan berminat dengan Islam dan bersedia menjadi seorang Islam.

“Saya sebenarnya ada hal mustahak di kampung kerana abang saya baru meninggal dunia tetapi yang ini lebih penting dan menjadi kewajipan saya memudahkan hasratnya mahu memeluk Islam selepas menunggu dua tahun.

“Alhamdulillah, hasratnya tercapai dan saya berharap dia akan menjadi Muslimah yang baik dengan bantuan keluarga angkatnya di Gombak,” katanya.-Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *