home Semasa Ikhwanul Muslimin di Mesir belum lagi berkubur

Ikhwanul Muslimin di Mesir belum lagi berkubur

 

KAHERAH – Kebangkitan Arab Spring yang berlaku pada tahun 2011 menyebabkan Presiden paling lama memerintah Mesir, Hosni Mubarak terpaksa meletakkan jawatan dan ia juga menyebabkan pergerakan Ikhwanul Muslimin berkuasa di negara itu dalam masa yang singkat.

Calon pergerakan itu, Allahyarham Mohamed Morsi dipilih sebagai Presiden Mesir melalui pilihan raya demokratik dan memerintah pada Jun 2012 tetapi beliau akhirnya disingkirkan oleh pihak tentera yang diketuai ketuanya, Abdel Fattah al-Sisi melalui rampasan kuasa pada Julai 2013.

Berikutan rampasan kuasa tentera itu, Morsi ditahan pihak tentera.

Pergerakan tersebut kemudian diharamkan di Mesir melalui keputusan sebuah mahkamah manakala Sisi kini menjadi Presiden negara itu selepas menang dalam pilihan raya negara berkenaan.

Walaupun ramai penyokong Ikhwanul Muslimin yang meninggal dunia, berada di penjara dan hidup dalam buangan, namun pergerakan dan pengaruhnya telah merebak ke rantau Teluk termasuk Arab Saudi.

Pergerakan itu juga berjanji untuk kembali aktif di Mesir selepas mahkamah mengharamkan pergerakan berkenaan.

Pergerakan itu ditubuhkan oleh seorang cendekiawan Islam, Hassan Al Banna pada tahun 1928 ketika Mesir diduduki oleh Britain melalui Perang Anglo-Mesir.

Ia ditubuhkan sebagai pergerakan kebajikan dan sosial Islam dengan mesejnya iaitu Islam sebagai penyelesaian.

Bagaimanapun, peranan Ikhwanul Muslimin itu kemudian dinafikan dalam politik Mesir sejak sekian lama sebelum muncul kembali sebagai pergerakan yang berpengaruh setelah berlaku tunjuk perasaan anti-Mubarak pada tahun 2011.

Sayap politik pergerakan itu, Parti Kebebasan dan Keadilan bertanding dalam pilihan raya negara itu menyebabkan sebahagian anggotanya menjadi ahli Parlimen dan Morsi menjadi Presiden pada tahun 2012.

Pasukan tentera diketuai Sisi itu kemudian melancarkan rampasan kuasa dan menyuraikan para penyokong Morsi yang melancarkan tunjuk perasaan sehingga mengakibatkan kira-kira 800 orang terbunuh.

Tindakan itu menyebabkan pertubuhan hak asasi manusia iaitu Human Right Watch menganggap cara pihak tentera menyuraikan protes itu sebagai salah satu pembunuhan penunjuk perasaan besar-besaran dalam satu hari.

Para pemimpin kanan dan ribuan anggota Ikhwanul Msulimin kemudian dipenjarakan dan melarikan diri ke Qatar serta Turki yang mana kedua-dua negara tersebut didakwa menyokong pemerintahan Morsi.

Berikutan penyingkiran Morsi, serangan militan telah meningkat di seluruh Mesir dengan kakitangan keselamatan, tokoh berprofil tinggi dan pelancong menjadi sasaran serangan terutamanya di Sinai Utara iaitu tempat Daesh beroperasi.

Pihak berkuasa Mesir turut menyalahkan Ikhwanul Muslimin kerana melakukan keganasan tetapi ia dinafikan berulang kali oleh kumpulan itu.

Pada 23 September 2013, sebuah mahkamah di Mesir pula mengharamkan Ikhwnul Muslimin dan mengarahkan aset-asetnya dirampas manakala pada Disember tahun yang sama kerajaan sementara negara itu melabelkan pergerakan itu sebagai pertubuhan pengganas.

Sekutu Mesir di rantau Teluk, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu turut melabelkan pergerakan itu sebagai pertubuhan pengganas.

Morsi, 67, pula meninggal dunia pada Jun 2019 setelah pengsan semasa perbicaraan semula atas dakwaan pengkhianatan yang mana beliau dituduh bekerjasama dengan kuasa asing dan kumpulan militan.

Dalam pada itu, seorang pakar sains politik, Kamal Habib memberitahu AFP bahawa pergerakan itu kini terjejas di semua peringkat dan perjuangan lampau yang sejarahnya tidak lagi sesuai untuk generasi moden masa kini.

Seorang penyelidik Asia Barat dari Lubnan, Hadi Wahab pula memberitahu agensi berita yang sama bahawa pergerakan berkenaan gagal untuk mengemukakan ekonomi alternatif dan projek politiknya di Mesir.

Bagi meneruskan kelangsungan pergerakan itu di Mesir, jurucakap rasmi Ikhwanul Muslimin, Tallat Fahmy berkata seperti dilaporkan agensi Anadolu Agency pada awal bulan ini bahawa ia kini menyokong untuk bekerjasama dengan tokoh pembangkang negara tersebut, Mohamed Ali yang juga bekas kontraktor tentera bagi menumbangkan Sisi.

Beliau yang bercakap kepada agensi berita tersebut di Istanbul, Turki menjelaskan, pergerakan itu kini memerlukan kerjasama daripada semua orang yang setia di tanah air bagi mewujudkan sebuah negara demokratik yang moden.

Sementara itu, seorang penyelidik tentang pergerakan politik Islam, Ammar Fayed memberitahu agensi berita tersebut bahawa pergerakan berkenaan sedar mereka tidak mampu untuk menghadapi rejim pemerintahan Mesir secara bersendirian.

Portal berita BBC sebelum ini melaporkan Sisi yang berkuasa sejak tahun 2014 melaksanakan pemerintahan keras dan puluhan ribu orang telah ditahan dalam memerangi para penentang kerajaan.

Seorang profesor dalam bidang sains politik di Universiti Kaherah, Mostafa Kamel al-Sayed berkata kepada AFP bahawa beliau tidak berpendapat bahawa pergerakan itu sudah ‘mati’ tetapi menyatakan ia sukar untuk membuat kemunculan ketika Mesir berada di bawah pemerintahan Sisi. – Agensi

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *