home Semasa Islam utama pencegahan musibah

Islam utama pencegahan musibah

 

COVID-19 yang kritikal sehingga sekali lagi beberapa negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pandemik musibah dan ujian terhadap umat manusia termasuk orang beriman, namun tidak kurang juga ada yang mencari-cari orang yang boleh dipersalahkan dengan pandemik ini.

Ketua Pusat Pengajian Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka, Prof Madya Dr S Salahudin Suyurno, berkata umat Islam perlu menghayati kesyumulan agama ini yang juga cara hidup dibekalkan Allah SWT.

Katanya, segala aspek kehidupan meliputi akidah, ibadah, akhlak dan kemasyarakatan, termasuk cara menghadapi musibah serta ancaman penyakit, sudah digariskan agama.

Beliau berkata, keutamaan mencegah ditekankan agama, usaha mencegah pastinya lebih baik daripada mengubati dan Islam menyuruh umatnya melaksanakan pelbagai usaha, strategi dan kaedah pencegahan sebaik mungkin.

“Sehubungan itu, pendekatan PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) selaras tuntutan dan ajaran agama kerana penawar mesti dicari, manakala pencegahan hendaklah diperkasa.

“Rasulullah SAW mengajar kita untuk menggerakkan ikhtiar memerangi wabak ini, selain bersabar dengan ujian menimpa.

“Kita mesti yakin bahawa setiap penyakit pasti ada penawarnya. Bersabar dan berikhtiar ialah amalan mulia dituntut agama.

“Yakinlah sesuatu berlaku pasti ada hikmah tersembunyi. Setiap ujian akan meningkatkan tahap keimanan hingga kita perlu kembali kepada kesempurnaan ajaran Islam yang amat mengutamakan elemen kebersihan, ketertiban dan kepatuhan dalam kehidupan sementara ini,” katanya.

S Salahudin turut mengingatkan umat Islam untuk menjadikan doa sebagai teman sejati dan senjata ampuh.

“Bukan elemen luaran sahaja diutamakan, bahkan dalaman merangkumi kejernihan jiwa, roh, perasaan dan rasa kehambaan kepada Allah SWT mesti diperkasakan.

Baginya, Muslim yang sedar ketika didatangkan pelbagai bentuk ujian, menganggapnya sebagai pengukur tahap keimanan kepada Allah SWT.

Justeru, amalkan doa seperti: “Dengan nama Allah yang tidak memberi mudarat akan sesuatu di bumi dan langit (selagi) bersama dengan Nama-Nya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Begitu juga: “Ya Allah aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan daripada segala penyakit berbahaya lain.” (HR Abu Daud).

Doa ialah pendinding diri, keluarga dan masyarakat tetapi pada masa sama, tanamkan rasa kehambaan, selain pasrah dan berusaha memerangi wabak itu.

Beliau turut memberikan pesanan dengan memetik hadis Nabi Muhammad SAW mengingatkan “Seorang Mukmin tidak akan jatuh ke dalam satu lubang dua kali.” (HR Bukhari dan Muslim)

Terlalu banyak pengajaran. Contohnya, Muslim perlu sedar dan sentiasa berjaga-jaga tidak akan terjerumus dalam satu kesalahan untuk kali keduanya.

Ada antara kita yang berasa kebal daripada jangkitan sehingga aktiviti harian dilaksanakan tanpa mematuhi SOP.

“Justeru, seruan besar-besaran hendaklah dilakukan dengan merujuk maksud hadis berkenaan. Mereka alpa dan lalai, kembalilah semula kepada perintah agama dan pemerintah.

Beliau berkata, umat Islam perlu segera bermuhasabah (menghisab kembali amalan dan akhlak lepas), manakala kelalaian dahulu jangan sekali-kali diulang kembali.

“Jujurlah pada diri sendiri, kembali kepada agama kerana ia mengajar manusia membuang segala ego diri.

“Muhasabah ini mesti dilaksanakan semua pihak tanpa kecuali,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *