home Semasa ‘Kamu akan dapat apa yang kamu mahu’

‘Kamu akan dapat apa yang kamu mahu’

 

FAKTOR utama manusia berpegang dengan prinsip adalah apabila Allah mengkehendakinya begitu. Kehendak Allah adalah segalanya kerana di dalam takdir, Allah berkuasa mutlak di dalam iradah (kehendakNya), qudrah (upayaNya), khalqu (kuasa pembuatanNya) dan ilmu (pengetahuanNya).

Allah tahu apa yang akan berlaku dan manusia tidak tahu.

Bila Allah berkehendak, tidak ada kehendak manusia yang boleh mengatasinya.

Qudrah manusia terbatas sedangkan qudrah Allah adalah mutlak.

Manusia menghasilkan sesuatu tertakluk atas sunnah alam asbab musabbab yang Allah cipta, bukan kerana dia berkuasa menghasilkan sesuatu.

Jika manusia tidak berpegang dengan prinsip, adakah kerana Allah yang mengkehendaki begitu?

Allah menetapkan sunnah alam asbab musabbab; ‘manusia dapat apa yang mereka mahu’.

Perhatikanlah antaranya ayat-ayat berikut:

وَمَا كَانَ لِنَفْسٍ أَن تَمُوتَ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ كِتَابًا مُّؤَجَّلًا ۗ وَمَن يُرِدْ ثَوَابَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَن يُرِدْ ثَوَابَ الْآخِرَةِ نُؤْتِهِ مِنْهَا ۚ وَسَنَجْزِي الشَّاكِرِينَ

“Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah). Dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, Kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, Kami berikan behagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.”
(Aali Imran: 145)

مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ ۖ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ

“Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.”
(Asy-Syura 20)

مَّن كَانَ يُرِيدُ الْعَاجِلَةَ عَجَّلْنَا لَهُ فِيهَا مَا نَشَاءُ لِمَن نُّرِيدُ ثُمَّ جَعَلْنَا لَهُ جَهَنَّمَ يَصْلَاهَا مَذْمُومًا مَّدْحُورًا. وَمَنْ أَرَادَ الْآخِرَةَ وَسَعَىٰ لَهَا سَعْيَهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَٰئِكَ كَانَ سَعْيُهُم مَّشْكُورًا

“Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah.
Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya.”
(Al-Isra 18-19)

Allah Yang Maha Adil memberikan ikhtiar kepada manusia untuk memilih. Apa yang dipilih oleh manusia, Allah lorongkan dia kepada pilihannya berdasarkan sunnah alam asbab musabbab yang Allah cipta.

Sesiapa yang berkali-kali bermujahadah memilih akhirat, Allah mudahkan dia memenuhi pilihannya.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَنصُرُوا اللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”
(Muhammad: 7)

Tetapi sesiapa yang berkali-kali memilih kesenangan dunia, Allah pun akhirnya tidak mahu dia menuju kesenangan akhirat.

وَلَوْ أَرَادُوا الْخُرُوجَ لَأَعَدُّوا لَهُ عُدَّةً وَلَٰكِن كَرِهَ اللَّهُ انبِعَاثَهُمْ فَثَبَّطَهُمْ وَقِيلَ اقْعُدُوا مَعَ الْقَاعِدِينَ

“Dan kalaulah mereka mahu keluar (untuk turut berperang), tentulah mereka menyediakan persiapan untuknya; tetapi Allah tidak suka pemergian mereka, lalu dilemahkanNya semangat mereka, dan dikatakan (oleh Syaitan): “Tinggallah kamu bersama-sama orang-orang yang tinggal”.
(At-Taubah: 46)

 

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *