home Semasa Kejayaan Dr Farah di UK tolak tuduhan Islam jumud

Kejayaan Dr Farah di UK tolak tuduhan Islam jumud

 

BANGI – Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mengucapkan tahniah kepada Dr Farah Shaheera Roslan atas kejayaannya mencipta pakaian hijab pakai buang untuk kegunaan doktor muslimah dalam dewan bedah (OT).

Ketua Wanita ISMA, Dr Suriani Sudi berkata, kejayaan Dr Farah bukan setakat memenuhi kelompongan dalam sistem kesihatan United Kingdom (UK) yang mempunyai ramai doktor muslimah, bahkan membuktikan bahawa seorang muslimah itu perlu teguh dengan ajaran agamanya.

“Pegangannya yang kuat terhadap penjagaan aurat menolak beliau untuk mereka pakaian pakai buang tersebut. 

“Beliau tidak mengalah setelah dihalang daripada memasuki dewan bedah apabila pihak hospital tidak membenarkannya memakai hijab. 

“Inovasi tersebut lahir daripada jati diri yang kuat untuk memelihara tonggak agama walaupun bekerja dalam persekitaran di mana majoriti penduduknya bukan muslim,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kejayaan Dr Farah itu memerlukan prinsip hidup yang kuat dan jelas di sebaliknya dalam menjaga maruah diri serta agama.

“Tahniah kepada kedua ibu bapa dan para pendidik Dr Farah yang berjaya menanamkan prinsip hidup yang kuat sehingga mampu menongkah arus hidup di perantauan,” katanya.

Pada masa sama, Dr Suriani berkata, kejayaan itu sekali gus menolak pelbagai tohmahan kepada agama Islam yang mewajibkan wanita menutup aurat dengan menganggap tuntutan tersebut jumud dan menghalang wanita muslimah daripada maju ke hadapan. 

“Hakikatnya Islam tidak meletakkan rupa bentuk seseorang wanita sebagai sebab kejayaan malah kebolehan dan kekuatan dalamanlah yang menjadi pemangkin kepada seseorang wanita untuk berjaya,” katanya.

Dr Farah menerima pengiktirafan NHS Leadership Academy Award dan dicalonkan untuk British Muslim Award kerana sumbangannya mencipta hijab pakai buang untuk kegunaan dalam dewan bedah.

Beliau berkata, hijab pakai buang itu menjadi jalan penyelesaian dilema wanita muslim yang ingin bergelar pakar bedah tanpa meninggalkan tuntutan agama berikutan dasar prosedur standard diamalkan sesetengah hospital di dunia bagi mengelak jangkitan.

Menurutnya, pengiktirafan berkenaan turut didedikasikan kepada mentornya terutama doktor Muslim di United Kingdom (UK) yang banyak memberi bimbingan. -Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *