home Semasa Solat fardu, Jumaat hanya 12 orang di masjid, surau

Solat fardu, Jumaat hanya 12 orang di masjid, surau

 

JOHOR BAHRU: Hanya 12 jemaah membabitkan pegawai masjid dan surau serta ahli jawatankuasa mereka, dibenarkan menunaikan solat fardu lima waktu dan Jumaat di semua masjid dan surau negeri ini, berkuat kuasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, menitahkan demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan pagi ini dan dimuat naik di akaun rasmi Facebook baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, peningkatan penularan jangkitan tempatan COVID-19 khususnya di Johor sangat menggusarkan dan membimbangkan baginda.

Titah baginda, pengisytiharan PKP oleh kerajaan di negeri Johor bermula 13 hingga 26 Januari ini adalah suatu usaha bagi mengekang dan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 ini.

“Saya menyokong penuh usaha itu demi memastikan negara ini dan Johor khususnya terhindar daripada kemudaratan pandemik ini.

“Oleh itu, bagi tujuan mematuhi PKP saya menimbang dengan penuh teliti berdasarkan satu daripada prinsip maqasid syariah iaitu menjaga nyawa, maka pelaksanaan solat fardu lima waktu, solat fardu Jumaat, aktiviti pengimarahan masjid dan surau, aktiviti di tanah perkuburan Islam dan majlis akad nikah dalam tempoh PKP perlu dihadkan.

“Solat fardu lima waktu dan solat Jumaat dibenarkan dilaksanakan di masjid dan surau negeri ini dengan had maksimum 12 jemaah terdiri daripada pegawai masjid dan surau serta ahli jawatankuasa pengurusan kariah.

“Aktiviti pengimarahan masjid dan surau yang dibenarkan adalah solat jenazah dengan had maksimum 12 orang sahaja, takzir dan tahrim oleh pegawai masjid dan surau sahaja dan solat hajat mengiringi solat fardu lima waktu dan solat Jumaat.

“Lain-lain aktiviti pengimarahan masjid dan surau adalah tidak dibenarkan,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, bagi aktiviti urusan pengebumian di tanah perkuburan Islam, ia juga dihadkan hanya kepada 20 orang petugas dan waris keluarga manakala, aktiviti ziarah perkuburan tidak dibenarkan.

“Majlis akad nikah hanya dibenarkan di Pejabat Kadi Daerah dan terhad kepada pengantin, wali dari daerah yang sama selain sudah memperoleh kebenaran berkahwin sebelum tarikh PKP dikuatkuasakan.

“Bagi pasangan pengantin yang memperoleh kebenaran berkahwin sebelum PKP tetapi berada di luar daerah atau negeri dari tempat majlis akad nikah iaitu Pejabat Kadi Daerah ditetapkan, majlis akad nikah mereka hendaklah ditangguhkan dan dijadualkan semula,” titah baginda.

Baginda bertitah, bagi urusan nikah, cerai dan rujuk seperti pendaftaran cerai dan rujuk, permohonan kad perakuan nikah dan pengambilan dokumen nikah, cerai dan rujuk yang sudah dilakukan adalah dibenarkan di Pejabat Kadi Daerah.

“Namun bagi permohonan baharu kebenaran nikah dan permohonan pengesahan pendaftaran perkahwinan dan poligami adalah ditangguhkan sepanjang PKP,” titah baginda. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *