home Semasa Vaksin Covid-19 selaras tuntutan cegah penyakit, mudarat

Vaksin Covid-19 selaras tuntutan cegah penyakit, mudarat

 

KUALA LUMPUR – Vaksin Covid-19 adalah selaras dengan tuntutan syarak dari aspek mencegah penyakit selain membantu memastikan seseorang individu yang mengambilnya tidak memudaratkan orang lain.

Pegawai penyelidik di pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Fahmi Rusli berkata, justeru pengambilan vaksin adalah perlu bagi golongan yang diwajibkan oleh pemerintah seperti petugas barisan hadapan dan mereka yang berisiko tinggi termasuk warga emas.

“Pengambilan vaksin Covid-19 bagi mencegah penyakit adalah sama konsepnya dengan pengambilan suntikan yang diberikan kepada bayi bagi mencegah jangkitan pelbagai penyakit seperti polio dan sebagainya,” katanya.

Faktor usia, tahap kesihatan tentukan kelayakan terima vaksin

Kesihatan rakyat keutamaan paling tinggi: Dr Adham

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam segmen Tanya Jakim bertajuk ‘Ada Apa Dengan Vaksin Covid-19′ yang disiarkan secara langsung di akaun Facebook rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini.

Fahmi berkata, langkah untuk mencegah penyakit adalah perkara yang dituntut Islam dan berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW: ‘Barangsiapa yang makan tujuh biji kurma ajwa setiap pagi maka pada hari itu dia akan terpelihara daripada racun dan sihir’.

Beliau berkata, Islam menggalakkan umatnya untuk mencegah penyakit atau mendapatkan rawatan lebih awal sebelum seseorang itu mendapat penyakit.

Oleh itu, Fahmi berkata tindakan tidak mengambil vaksin Covid-19 boleh menyebabkan seseorang itu membawa risiko kepada orang lain dan ini adalah bercanggah dengan ajaran Islam yang mengajar umatnya untuk tidak membawa kemudaratan.

Sebelum ini Bernama melaporkan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam bulan lepas mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dipetik sebagai berkata ketetapan itu telah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) Isnin lepas memaklumkan bekalan vaksin pertama dijangka diterima negara pada penghujung Februari ini dengan kumpulan pertama penerima vaksin pada awal Mac.

Program vaksinasi Covid-19 akan berjalan secara berperingkat sehinggalah tempoh keseluruhannya selama 12 bulan dan hampir 27 juta atau lebih 80 peratus penduduk Malaysia dijangka menerima vaksin Covid-19 menjelang suku pertama tahun depan. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *