home Semasa Ancaman budaya Hedonsime

Ancaman budaya Hedonsime

SALAH satu sisi gelap digitalisasi kepada masyarakat umum adalah ancaman budaya hedonsime.

Ini adalah ancaman kepada paksi akhlak yang menjadi salah satu asas utama dalam Islam.

Sebagaimana tagline teknologi berbunyi “maklumat di hujung jari”, begitulah mudahnya capaian kepada apa sahaja perkara termasuk pelbagai bentuk hiburan yang melalaikan.

Bahkan ancaman ini bukan sahaja melahirkan generasi yang suka berfoya, rendah akhlak, suka bersendirian, hilang peduli kepada orang lain. Tetapi yang lebih mendasar ia membunuh jiwa dan akal umat.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Janganlah kamu banyak ketawa kerana ianya akan mematikan hati. (Riwayat Ahmad)

Hati yang terputus hubungannya dengan wahyu akan hilang derianya kepada permasalahan umat yang berlaku di sekelilingnya.

Tanpa disedari amar ma’ruf dan nahi mungkar semakin hilang dalam kehidupan masyarakat. Lalu berleluasalah fasad dan kerosakan dalam semua perkara.

Barat sekian lama telah mengeksport hiburannya kepada seluruh dunia terutama negara-negara umat Islam. Kini dengan bantuan teknologi yang semakin canggih, hiburan-hiburan itu berada di setiap tangan umat Islam tanpa perlu untuk membeli tiket konsert.

Tangan-tangan yang dahulunya erat memegang Al-Quran kini dialpakan dengan menonton dan mendengar hiburan yang lagha.

Serangan kali ini sangat dahsyat dan menyeluruh. Tiada siapa yang terselamat kecuali mereka yang memohon kerahmatan Allah SWT dan berlindung dengan langkah pencegahan bagi membendung fitnah ini.

Umat kian menjadi lemah tak bermaya. Detik demi detik berlalu kosong daripada zikrullah dan tadabbur Al-Quran. Hari berganti hari tanpa bacaan yang bermanfaat untuk pembangunan diri dan agama.

Diskusinya banyak berlegar sekitar hal yang remeh temeh. Kadang kala kuliah agama pun banyak dipenuhi dengan gelak tawa yang berlebihan menghilangkan keberkatan sebuah majlis ilmu.

Hedonisme menjadi candu yang merbahaya kepada usaha pembinaan peradaban Islam. Ini kerana ianya mematikan fungsi akal yang Allah SWT anugerahkan kepada manusia sebagai sebaik-baik kejadian.

Akalnya menjadi tumpul daripada berfikir untuk kepentingan agama dan negara. Umat Islam tidak boleh dibiarkan terus lemas dalam keadaan ini.

Para pendakwah mesti segera dan serius memainkan peranan untuk mendekati masyarakat dengan pelbagai pintu dakwah baik berupa kuliah dan pengisian, bantuan kebajikan, aktiviti masyarakat setempat dan apa sahaja cara.

Perlahan-lahan potensi umat akan digilap semula dan diletakkan semula di posisinya sebagai sebaik-baik umat. Pendakwah mesti berada di tengah-tengah masyarakat untuk menyampaikan seruannya dengan berkesan. Biarkan sunnah pertembungan antara hak dan batil menentukan pengakhirannya.

Dan semestinya pengakhiran yang baik untuk golongan bertaqwa.

Shuhaib Ar-rumy Selamat
www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *