home Semasa Fahami perbezaan urus zakat, sedekah elak cetus polemik

Fahami perbezaan urus zakat, sedekah elak cetus polemik

 

PANDEMIK COVID-19 memberi kesan kepada masyarakat khususnya B40. Ramai terjejas sumber pendapatan akibat kehilangan kerja dan sekatan ekonomi akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Keperitan ini sedikit terubat dengan bantuan diberikan orang perseorangan, selebriti, pendakwah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Namun, timbul polemik apabila bantuan sesetengah pihak dibanding-bandingkan dengan yang lain.

Ini menimbulkan persepsi seolah-olah satu pihak memberikan sumbangan siginifikan, manakala kumpulan lain seolah-olah tidak melaksanakan tanggungjawab diamanahkan.

Sedekah mempunyai maksud dan penafsiran luas dalam Islam. Secara mudahnya, ia pemberian seseorang kepada orang lain dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Pemberian itu sama ada ditujukan kepada fakir miskin, sanak-saudara mahupun untuk kepentingan agama (fi sabilillah). Malah, sedekah juga dianjurkan untuk diberikan kepada orang bukan Islam, selain terhadap haiwan.

Saranan bersedekah dianjurkan Allah SWT dalam firman-Nya: “Sesungguhnya orang lelaki bersedekah dan orang perempuan bersedekah serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (berganda-ganda) dan mereka pula akan beroleh pahala mulia.” (Al-Hadid: 18)

Sedekah dalam konteks harta diberikan boleh dibahagi kepada dua bahagian, iaitu sedekah wajib dan sunat. Kategori wajib membabitkan zakat harta dan fitrah, manakala amalan sunat pula hadiah, wakaf, hibah, wasiat, pelepasan hutang serta pengguguran hak.

Justeru, terdapat beberapa perbezaan perlu difahami dalam menguruskan pengagihan dana sedekah dan zakat supaya tidak timbul salah faham serta polemik. Salah faham ini akan memberikan gambaran negatif dan tidak adil, sedangkan sedekah ialah amalan terpuji.

Pertama, sedekah berbeza dengan zakat dari sudut keluasan penerimanya. Sedekah boleh diberikan kepada orang Islam dan bukan Islam. Namun, zakat perlu diberikan kepada orang Islam ditentukan dalam al-Quran, iaitu lapan golongan penerima (asnaf zakat).

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya zakat itu, hanyalah untuk fakir, miskin, amil zakat, muallaf, orang terbelenggu, orang berhutang, orang berjuang di jalan Allah dan musafir terputus dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan diwajibkan Allah dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Al-Taubah: 60)

Kedua, kawalan hukum syarak atau fatwa. Sedekah boleh diberikan kepada pelbagai lapisan masyarakat tanpa limitasi golongan tertentu dan tidak terikat dengan ketetapan hukum atau fatwa.

Namun, zakat perlu dipastikan agihannya benar-benar sampai kepada lapan golongan asnaf ditetapkan supaya menepati kehendak hukum dan fatwa.

Penelitian dan penilaian golongan asnaf layak menerima perlu diberi perhatian supaya matlamat hukum syarak tercapai. Zakat ialah ibadah wajib perlu diuruskan dengan betul dan tepat kerana akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT di akhirat kelak.

Ia membabitkan penilaian dosa dan pahala dalam menguruskan amanah mengagihkan dana zakat sebaiknya.

Ketiga, sudut kawalan dan pantauan pihak berwajib. Sedekah diberikan individu adalah bebas tanpa ada halangan dan sekatan terhadap kaedah atau prosedur agihan.

Sedekah bebas diberikan kepada sesiapa sahaja tanpa had jumlah dan tempoh tertentu serta tiada penilaian terhadap penerima perlu dilakukan.

Namun, zakat perlu mengikut kaedah atau prosedur supaya memastikan ketelusan dan integriti pihak pengurusan zakat pada tahap maksimum. Institusi itu bertanggungjawab memastikan ketepatan penerima asnaf, menentukan kriteria kelayakan asnaf dan kesesuaian jumlah bantuan diberikan.

Amanah dan tanggungjawab ini proses perlu diberi kepercayaan kepada institusi zakat dalam mengurus dan mentadbir. Implikasi agihan salah dan tidak mengikut prosedur akan menyebabkan kredibiliti institusi zakat dipertikaikan bahkan ditohmah pelbagai tuduhan dan persepsi negatif.

Keempat, perbezaan dari sudut pihak bertanggungjawab menguruskannya. Sedekah boleh diuruskan dan dilaksanakan sesiapa sahaja sama ada individu atau berkumpulan.

Namun, zakat diuruskan institusi zakat di bawah seliaan dan pantauan majlis agama Islam negeri. Sudah tentu terdapat perbezaan mengurus dana sedekah dan zakat secara individu atau organisasi.

Hakikatnya, amalan bersedekah sangat dianjurkan kepada seluruh umat Islam berkemampuan. Ia bukan hanya tugas eksklusif institusi dan jabatan tertentu, bahkan terbuka kepada semua masyarakat.

Bagaimanapun, masyarakat perlu memahami dan membezakan antara peranan sesebuah organisasi dalam menyalurkan bantuan, berbanding individu atau NGO yang tidak terikat dengan sebarang prosedur, fatwa dan kawal selia pihak audit secara ketat.

Apa yang penting, kerjasama semua pihak menyalurkan bantuan dapat membantu mengurangkan jurang kemiskinan dan menjamin kesejahteraan seluruh rakyat. – Berita Harian

Penulis adalah Pakar Rujuk, Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF), Universiti Teknologi MARA (UiTM) 

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *