home Semasa Mencari reda pembelajaran al-Quran secara maya

Mencari reda pembelajaran al-Quran secara maya

 

KRISIS pandemik dihadapi dunia kini seolah-olah memberi dimensi baharu kepada kaedah pembelajaran termasuklah membabitkan al-Quran.

Tradisi pembelajaran yang sebelum ini berpusatkan kepada kaedah bersemuka dengan guru (talaqqi musyafahah), kini perlu diubah secara maya pada setiap peringkat.

Jika dilihat fenomena sekarang, kebanyakan guru al-Quran sama ada secara formal atau sebaliknya, sudah pun beralih kepada pengajian dalam talian.

Namun persoalannya, apakah kaedah norma baharu ini memberi kesan setara dengan kaedah bersemuka? Adakah pelajar benar-benar mampu mempertingkatkan bacaan al-Quran melalui pembelajaran dalam talian semata-mata?

Hakikatnya, tiga langkah konvensional biasa digunakan guru al-Quran supaya pelajar dapat membaca dengan baik secara dalam talian.

Pertama, pelajar dan guru perlu hadir bersama dalam satu majlis secara digital kemudian bacaan pelajar diperdengarkan. Kedua, guru akan meneliti bacaan pelajar dan menegur bacaan itu. Ketiga, pelajar akan mengulangi bacaan sama dengan penambahbaikan bacaan sepatutnya.

Semua langkah di atas memberi kesan kepada pelajar yang mempunyai asas dan keupayaan bacaan al-Quran sedia ada. Mereka dapat mengadaptasi teguran guru secara maya dan memperbaiki bacaan secara langsung.

Bagi yang baru belajar seperti di tahun 1, 2 dan 3 di sekolah rendah umpamanya, pengajian dalam talian bukanlah medium terbaik kerana mereka memerlukan tunjuk ajar berfokus dan latihan berterusan.

Jelas sekali, keadaan ini mengundang cabaran buat guru yang mengajar pada peringkat permulaan ini.

Dalam situasi ini, semua pihak harus bertolak ansur. Sifat toleransi mampu memberi ruang mempertingkatkan kualiti serta kaedah pengajaran dan pembelajaran sedia ada.

Seperti pengajaran bersemuka yang memerlukan masa untuk peningkatan, begitulah juga pengajaran al-Quran secara dalam talian. Justeru beberapa solusi dicadangkan.

Pertama, guru dan pihak sekolah harus memilih aplikasi yang mesra pengguna ketika mengajar al-Quran, bergantung tahap pelajar. Pemilihan berasaskan keupayaan pelajar yang mendominasi dalam satu kelas.

Ia dapat dilakukan melalui soal jawab kepada penjaga atau melihat profil latar belakang pelajar. Kumpulan maya dalam grup sembang memberi satu solusi terbaik komunikasi dua hala tentang aplikasi bersesuaian, namun guru perlu membuat keputusan rasional jika berlaku pertembungan atau meminta pandangan pakar.

Kedua, latihan setimpal perlu diberikan berdasarkan topik dipelajari selepas sesi pengajaran berlaku. Ia salah satu kaedah pemantauan supaya pelajar tidak lupa apa yang

diajar.

Konsep pengajaran al-Quran juga memerlukan proses pengulangan supaya pelajar dapat menguasai satu-satu topik. Guru perlu bijak membuat pengulangan berkala atau soal jawab pada topik terdahulu.

Penting bagi kedua-dua pihak memberi dan memahami secara tepat sebelum berpindah kepada topik lain supaya tidak ketinggalan.

Ketiga, selain proses pengajaran al-Quran sedia ada dalam silibus, elemen motivasi perlu wujud semasa sesi pengajaran berlangsung. Sama ada didahulukan atau dilewatkan, terpulang kepada guru masing-masing.

Puji-pujian selari pencapaian pelajar boleh dikira sebagai elemen motivasi. Baik pada tahap asas, pertengahan dan tinggi, motivasi adalah satu pendekatan yang mampu menggalakkan pelajar supaya tidak putus asa dan berterusan dalam pelajaran.

Perkataan seperti pahala, syurga, berkat, malaikat, rahmat, kasih sayang antara boleh digunakan dalam memberi motivasi.

Keempat, di samping guru dan pelajar, keterlibatan ahli keluarga juga penting sebagai sokongan moral dan fizikal. Penjaga haruslah memainkan peranan atau mengambil cakna perihal pembelajaran al-Quran anak-anak.

Pertanyaan dan dorongan penting bagi memastikan peningkatan pengajian pada tahap sepatutnya. Ia tidak harus diletakkan pada bahu guru semata-mata.

Bagi ibu bapa berkemampuan, mereka boleh mendengar latihan bacaan dan melihat sejauh mana penguasaan anak-anak. Jika tidak, kata-kata semangat sudah memadai.

Ringkasnya, impak pembelajaran adalah berasaskan kaedah solusi yang dipilih guru dan penjaga.

Empat model solusi di atas boleh diaplikasi sebaik mungkin. Dalam masa sama, kreativiti guru harus dipertingkatkan selari kecanggihan teknologi moden, bukan sekadar memberi tunjuk ajar berdasarkan maklumat silibus al-Quran semata-mata seperti kaedah tradisional sebelum ini.

Walaupun diakui pembelajaran dalam talian tidak memberi kesan setara dengan kaedah bersemuka talaqqi dan musyafahah, niat ikhlas guru dan pelajar akhirnya dibantu Allah SWT dalam memberi kefahaman serta kefasihan bacaan kalam-Nya. -Berita Harian

Penulis adalah calon Doktor Falsafah (PhD) Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

 

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *