home Semasa Menghapuskan jenayah rasuah

Menghapuskan jenayah rasuah

 

1. MAHKAMAH Tinggi semalam menjatuhkan hukuman penjara selama 54 tahun dan denda berjumlah RM15.45 juta terhadap bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selepas dia didapati bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

2. Tindakan membanteras jenayah rasuah ini haruslah diperkasa. Ia adalah kempen yang dianjurkan oleh Islam melalui sabda Baginda Nabi SAW sendiri. al-Imam Ahmad meriwayatkan hadith yang keras berhubung larangan rasuah. Sabda Rasulullah:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي

“Rasulullah melaknat pemberi dan penerima rasuah.” (HR Ahmad)

3. Perhatikan hadis ini betul-betul. Perkataan yang digunakan adalah ‘laknat.’ Bererti perbuatan rasuah ini adalah perlakuan yang amat terkutuk sehingga mereka yang melakukannya dilaknat oleh Allah dan Rasul.

4. Dengan sebab itu al-Imam al-San’ani dan al-Zahabi meletakkan kumpulan perasuah ini sebagai pelaku dosa besar (murtakib al-kabirah) (Subul al-Salam & al-Kaba’ir). Malah al-Imam al-Qurtubi menegaskan bahawa penerima rasuah ini dikategorikan sebagai orang fasiq. (Jami li Ahkam al-Quran)

5. Secara umumnya, seorang yang melakukan dosa besar dan digelar sebagai fasiq ini tidak seharusnya dilantik sebagai pemimpin. Ini kerana, syarat asas bagi seorang pemimpin Muslim adalah bersifat adil dan amanah. Pesalah rasuah tidak memiliki dua sifat ini.

6. Malah yang lebih membimbangkan lagi andai hasil rasuah ini disuapkan pula kepada ahli keluarga dan anak-anak yang tidak mengerti apa-apa. Kita sudah tentu tidak mahu untuk memberikan nafkah dan makanan daripada sumber yang tidak diredai oleh Allah.

Semoga Allah memberikan kekuatan buat umat ini untuk bersama membanteras dan menghapuskan jenayah rasuah.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *