home Semasa Rasulullah larang ‘aksi berlebihan’ untuk tatapan orang lain

Rasulullah larang ‘aksi berlebihan’ untuk tatapan orang lain

 

1. ADA yang bertanya mengenai hukum mempamerkan kemesraan suami isteri di media sosial sehingga memuat naik video bercium dan berpelukan. Pada hakikatnya kemesraan suami isteri sebahagian daripada elemen kebahagiaan, namun mempamerkannya bukanlah satu keperluan.

2. Rasulullah SAW adalah suami yang romantis. Namun perkara ini tidak diketahui sehinggalah para isteri Baginda yang menceritakannya, atau sahabat lain yang ternampak akan kemesraan tersebut. Ia bukanlah ditunjuk di khalayak umum.

3. Bahkan Rasulullah pernah memerintahkan isteri Baginda supaya memakai hijab sekalipun di hadapan seorang yang buta. Saranan ini diucapkan kepada Saidatina Ummu Salamah dan Saidatina Maimunah apabila datang seorang buta ke rumah Baginda. Kata Rasulullah:

احْتَجِبَا مِنْهُ، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ أَلَيْسَ هُوَ أَعْمَى لاَ يُبْصِرُنَا وَلاَ يَعْرِفُنَا؟ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ: أَفَعَمْيَاوَانِ أَنْتُمَا أَلَسْتُمَا تُبْصِرَانِهِ

“Hendaklah kamu berdua memakai hijab.” Lalu isteri Baginda berkata: “Bukankah dia seorang yang buta wahai Rasulullah? Dan dia tidak boleh melihat kami.” Lalu Rasulullah menjelaskan: Bukankah kamu berdua boleh melihat dia? (HR al-Tirmizi)

4. Perhatikan bagaimana di hadapan seorang lelaki buta pun Rasulullah meminta isteri Baginda agar memakai hijab dan menjaga penampilan mereka. Maka apatah lagi andai dipamerkan aksi yang berlebihan buat tatapan jutaan mata yang melihat? Sudah tentu Baginda melarang.

5. Apa yang lebih membimbangkan sekiranya video aksi kemesraan tersebut menjadi perhatian kepada anak-anak muda yang masih bersekolah sehingga mereka terkeliru dalam merasakan perbuatan tersebut boleh dipraktikkan secara umum.

6. Atau perbuatan tersebut diikuti pula oleh pasangan suami isteri lain yang turut mendedahkan aksi mesra mereka. Bukankah kita tidak mahu menjadi pencetus kepada kemungkaran lain. Sabda Rasulullah:

وَمَن سَنَّ في الإسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً، كانَ عليه وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَن عَمِلَ بهَا مِن بَعْدِهِ

“Dan barangsiapa yang melakukan perlakuan jahat (dilarang) dalam Islam, sehingga diikuti oleh orang lain, maka dia beroleh dosa dan menanggung dosa mereka yang melakukan perbuatan tersebut.” (HR Muslim).

7. Nasihat ini hanyalah berpandukan kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah demi kebaikan sesama muslim. Jangan dilihat dari sudut negatif pula.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr Ahmad Sanusi Azmi
Setiausaha Majlis Ulama ISMA (MUIS)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *