home Semasa Arab Saudi ‘buka pintu’ haji Sabtu ini

Arab Saudi ‘buka pintu’ haji Sabtu ini

 

Arab Saudi akan mula menerima kedatangan tetamu-tetamu Muslim pada Sabtu ini untuk menunaikan haji selepas bilangan umat Islam yang dibenarkan memasuki Makkah jauh berkurangan berbanding pada tahun 2019.

Bagaimanapun, hanya penduduk yang sudah divaksinasi sahaja dan tinggal di negara beraja itu dibenarkan untuk mengerjakan ibadat tersebut ekoran pandemik Covid-19 yang masih belum reda di seluruh dunia.

Kerajaan negara itu hanya membenarkan 60,000 umat Islam yang tinggal di negara tersebut untuk menunaikan ibadat tersebut iaitu jumlah yang lebih ramai berbanding pada tahun lalu tetapi masih jauh berkurangan jika dibandingkan sebelum pandemik tersebut melanda dunia.

Jemaah haji dijangka mula tiba di Makkah pada hari Sabtu ini iaitu sehari lebih awal sebelum ibadat selama lima itu bermula.

Pada tahun 2019, kira-kira 2.5 juta umat Islam dari kebanyakan negara di dunia mengerjakan ibadat haji manakala pada tahun lalu, dilaporkan kira-kira 1,000 jemaah haji menunaikan ibadat tersebut tetapi media pula menyatakan sehingga 10,000 orang mengerjakan haji.

Justeru, negara beraja itu sekali lagi berusaha memastikan tiada kes Covid-19 dilaporkan berlaku dalam kalangan jemaah haji seperti pada tahun lalu berulang semula pada tahun ini.

Lebih 558,000 permohonan dibuat untuk mengerjakan haji tetapi hanya 60,000 jemaah haji dibenarkan menunaikan haji pada tahun ini namun mereka juga dikenakan syarat lain iaitu telah divaksinasi dan berumur antara 18 hingga 65 tahun serta tidak mempunyai penyakit kronik.

Selain menguatkuasakan penjarakan sosial, Kementerian Haji juga akan memperkenalkan kad haji pintar bagi membolehkan jemaah haji memasuki hotel dan menaiki bas yang membawa mereka ke kawasan sekitar ibadat haji.

Disyorkan artikel berkaitan ini:
Wartawan Reuters terbunuh di AfghanistanCovid-19: Indonesia catat 1,205 kematian dalam tempoh 24 jamMelbourne ‘lockdown’ buat kali kelima
Sistem kad itu juga boleh membantu mengesan jemaah haji yang hilang.

Lebih dua juta umat Islam mengerjakan ibadat haji di Makkah sebelum pandemik Covid-19 melanda Arab Saudi dan dunia.
Dalam pada itu, di Masjidil Haram, pihak berkuasa negara itu juga telah menempatkan robot-robot untuk mengedarkan botol air zamzam kepada para jemaah haji.

Batu Hajarul Aswad yang berwarna hitam pula di Kaabah dijangka tidak akan dibenarkan disentuh oleh para jemaah haji pada tahun ini.

Lebih 503,000 jangkitan Covid-19 termasuk lebih 8,000 kematian telah direkodkan di negara tersebut.

Bagaimanapun, lebih 20 juta dos vaksin Covid-19 telah disuntik di negara tersebut dengan melibatkan lebih 34 juta orang.

Tiada laporan tentang jangkitan Covid-19 berlaku semasa musim haji pada tahun lalu manakala pelbagai kemudahan kesihatan didirikan, klinik mudah alih dan ambulans disediakan untuk kegunaan jemaah haji.

Mereka juga diberikan beg-beg termasuk batu-batu kecil untuk dibaling di tiga Jamrah, pelitup muka, sehelai sejadah dan ihram, bahan penyahjangkitan kuman, pakaian haji yang diperbuat daripada bahan penentang bakteria.

Namun, umat Islam luar negara dilarang daripada mengerjakan haji pada tahun ini sekali gus telah menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan penduduk Muslim di kebanyakan negara di dunia.

“Kerajaan Arab Saudi mahukannya (ibadat haji) berjalan dengan selamat dengan mengharamkan jemaah haji asing untuk tahun kedua berturut-turut. Namun, kekecewaan semakin meningkat dalam dunia Muslim (ekoran pengurangan bilangan jemaah haji),” kata Umar Karim iaitu felo pelawat di Institut Perkhidmatan Diraja Britain kepada AFP.

Ibadat haji dan umrah dilaporkan membawa pendapatan sebanyak AS$12 bilion (RM50.39 bilion) pendapatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Arab Saudi pada setiap tahun yang mewakili 20 peratus daripada pendapatan bukan berasakan minyak dan tujuh peratus daripada KDNK negara itu sebelum ini,

Namun, sejak tahun lalu, pusat beli-belah, apartmen, hotel mewah yang menawarkan pemandangan Kaabah lenggang disebabkan pandemik Covid-19.

Pandemik itu telah mengurangkan pendapatan Arab Saudi dan menjejaskan perniagaan melibatkan ejen-ejen pelancongan, tukang gunting rambut tepi jalan dan kedai cenderamata.

Pengesahan kerajaan Arab Saudi bahawa bilangan jemaah haji akan dihadkan pada tahun ini akan menjejaskan pemulihan ekonomi negara tersebut, kata sebuah syarikat perunding penyelidikan, Capital Economics kepada AFP.

Menurut syarikat itu lagi, kerajaan Arab Saudi kemungkinan berasa bimbang musim haji yang besar akan mengakibatkan peningkatan kes Covid-19.

Varian import Covid-19 mungkin dibawa oleh jemaah haji dari luar negara dan akan menyebabkan Riyadh terpaksa mengetatkan lagi kawalan bagi menghalang penularan pandemik tersebut sekali gus boleh merosakkan ekonomi di negara tersebut, kata syarikat berkenaan. – Agensi

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *