“Lafaz syahadat jika bukan daripada niat dan kerelaan atau kerana dipaksa, ia tidak akan dikira. Bukti kejujuran agama ini, inilah sebabnya saya memilih Islam.

“Di Jepun untuk memeluk mana-mana agama, hanya perlu tulis nama, alamat, umur dan berikan sekeping gambar. Ia tiada kaitan dengan niat dalam hati.

“Tapi dalam Islam, orang lain tidak boleh paksa, jika mengucap kerana menipu ia tidak akan dikira di sisi Allah.”

Selain itu, ibadah zakat juga turut memikat hati Said terhadap Islam.

HIDUP TIADA MATLAMAT

“Dalam banyak agama di Jepun, duit derma mereka akan masuk ke dalam poket orang besar agama atau digunakan sebagai bayaran utiliti dan pinjaman pembelian bangunan.

“Tetapi zakat dalam Islam perlu diberikan kepada orang susah, miskin. Jadi saya buat kesimpulan bahawa Islam bukanlah agama yang menguntungkan atau bermotifkan kekayaan,” katanya.

Sebelum memeluk Islam, Said merasakan hidupnya seperti statik, tiada hala tuju, rutin sama yang diulangi setiap hari – pergi kerja, pulang ke rumah, berhibur, mabuk dan tidur.

“Agama lain hanya pada hari tertentu sahaja menjadi ‘beragama’ (pergi gereja, kuil) tetapi pada hari lain macam tidak beragama. Bila direnungkan adakah baik untuk saya teruskan hidup sebegini?.

“Hidup ini tidak akan menjadi lebih baik jika tidak dilakukan sesuatu. Saya kemudiannya mengkaji banyak agama seperti Buddha dan Kristian, tetapi seperti yang dinyatakan tadi, walaupun berdoa pada Ahad atau Sabtu, saya tidak rasa diri ini akan berubah,” katanya.

Justeru Said nekad untuk ‘mencuba’ Islam dan apa yang menakjubkannya semakin dikaji semakin banyak ilmu baharu yang ditemukan dan ia ternyata amat berbeza dengan agama lain yang pernah singgah dalam hatinya sebelum ini.

Beliau mengakui bahawa terdapat tanggapan negatif mengenai Islam apabila segelintir menganggapnya sebagai ajaran kuno.

“Apa yang anda dapat dengan bersolat lima kali sehari, puasa pada zaman teknologi?

‘Saya juga pernah terfikir begitu tetapi saya rasa ajaran Islam merupakan satu pemikiran idea yang baharu untuk orang Jepun.

“Jepun memiliki banyak teknologi hebat tetapi pada masa sama mempunyai banyak rumah orang tua, banyak kes bunuh diri, peluang pekerjaan pun kurang, mengapa masalah yang boleh diselesaikan oleh orang Islam tidak dapat diselesaikan oleh orang Jepun.

“Saya terfikir mungkinkah pada awalnya Jepun mempunyai apa yang Islam ada tetapi kerana ia telah hilang keislamannya membuatkan Jepun menjadi lemah,” katanya.

TERUNGKAI SEGALA KEKUSUTAN

Said kemudiannya nekad untuk memilih Islam dan menemukan jawapan kepada semua masalah yang menghantui pemikirannya selama ini.

“Selepas empat tahun menjadi Muslim, hidup saya menjadi lebih sempurna berbanding 32 tahun sebelum ini. Bukan lagi terkurung dalam rumah mengisi masa dengan menonton televisyen, melayari Internet.

“Sebaliknya saya mengembara ke seluruh Jepun untuk berdakwah dan pada masa mendalami Islam antaranya melalui segala penciptaan hebat Allah di atas muka bumi ini.

“Sebelum ini saya berasa was-was dengan jalan yang dipilih tetapi selepas mengenali Islam, saya temui cahaya dan ia adalah jalan yang benar.

“Alhamdulillah syukur kepada Allah. Saya amat tenang sekarang,” katanya. – Utusan Online

www.indahnyaislam.my