MPM mohon campur tangan Majlis Raja-Raja, bantah keputusan benarkan lepasan UEC masuk IPTA

KUALA LUMPUR, 5 ZULHIJJAH – Majlis Perundingan Melayu (MPM) memohon agar Majlis Raja-Raja Melayu campur tangan berhubung keputusan kerajaan yang membenarkan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) memasuki institut pengajian tinggi awam (IPTA).

Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr Hasan Mad berkata, pihaknya akan menyerahkan memorandum bantahan secara terus kepada Majlis Raja-Raja dalam masa terdekat dengan harapan agar titah dikeluarkan supaya keputusan Jemaah Menteri bertarikh 14 Mei itu ditarik balik.

Beliau menegaskan bahawa tidak wajar memorandum diserahkan kepada kerajaan kerana keputusan tersebut datang daripada kerajaan sendiri.

“Justeru, jalan terbaik ialah menyerahkan memorandum ini kepada Majlis Raja-Raja Melayu agar mereka dapat menitahkan supaya keputusan ini dibatalkan,” katanya ketika ditemui TV Pertiwi pada Sidang Tergempar MPM di Wisma MPM hari ini.

Pada 14 Mei lalu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan bahawa lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) / UEC diberi peluang untuk melanjutkan pengajian di IPTA bagi program tertentu.

Menurut kenyataan KPT, keputusan tersebut telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

Mengulas lanjut, Hasan berkata sidang tergempar yang bermula jam 10 pagi itu diadakan bagi mendapatkan pandangan pemimpin NGO Islam serta tokoh dan aktivis perjuangan Melayu berkaitan isu UEC di Malaysia.

Beliau berkata, semua yang hadir bersetuju bahawa sebarang usaha untuk mengiktiraf UEC dianggap sebagai ancaman bukan sahaja kepada sistem pendidikan negara, tetapi juga dikhuatiri boleh menjejaskan perpaduan masyarakat.

Katanya lagi, perkembangan UEC sehingga mendapat “laluan” di Malaysia berlaku akibat perbalahan berterusan dalam kalangan pemimpin Melayu sendiri, yang akhirnya menyebabkan perpecahan dalam kalangan masyarakat majoriti negara ini.

“Mereka di pihak sana yang mendesak pengiktirafan ini berasa gembira dan bertepuk tangan. Mereka dianggap menang apabila orang Melayu sendiri berpecah dan bertelagah,” katanya.

“Justeru, orang Melayu perlu bersatu dalam melihat isu ini sebagai satu bentuk ancaman,” tambahnya.

Beliau turut menyifatkan sistem pendidikan vernakular bersama pengiktirafan UEC sebagai ancaman kepada negara, perpaduan serta sistem pendidikan kebangsaan.

Tambahnya lagi, beliau tidak menolak kemungkinan akan wujud kebangkitan dalam kalangan orang Melayu untuk turun menyuarakan bantahan secara besar-besaran.

Sumber: TV Pertiwi

📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts