Jurucakap GSF, Wael Naouar, memaklumkan bahawa kapal-kapal dalam konvoi kini berada kurang daripada 150 batu nautika dari Gaza selepas melintasi sempadan kritikal enam batu lalu.
“Jumlah dron pengintip yang berlegar di atas kapal kami meningkat dua kali ganda, dan gangguan terhadap internet serta radio semakin ketara,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Kawasan ini dikenali sebagai zon ‘intersepsi’ oleh tentera laut Israel, lokasi di mana flotila sebelum ini pernah diserang atau ditahan.
Sementara itu, aktivis dari pelbagai negara kini berada dalam keadaan berjaga-jaga. Semua kru telah memakai jaket keselamatan dan bersedia menghadapi kemungkinan serangan malam ini atau esok.
Menurut laporan terkini, sebuah kapal perang Israel telah dikesan kira-kira 80 kilometer dari konvoi GSF.
Penganjur flotila menyeru perhatian antarabangsa segera, menegaskan bahawa keselamatan aktivis bergantung kepada pemantauan global.“Serangan terhadap flotila ini adalah serangan terhadap Palestin,” tegas kenyataan rasmi mereka.
GSF membawa bantuan kemanusiaan berupa makanan dan ubatan, selain lebih 500 aktivis antarabangsa dari seluruh dunia. Misi ini bertujuan untuk memecahkan sekatan laut Israel yang telah berlangsung hampir dua dekad dan terus memburukkan keadaan hidup lebih 2.4 juta penduduk Gaza.
Israel sebelum ini menyatakan bahawa mereka tidak akan membenarkan mana-mana kapal memasuki perairan Gaza, dan merancang untuk menunda kapal-kapal GSF ke pelabuhan Ashdod. Namun, terdapat kebimbangan bahawa sebahagian kapal mungkin akan ditenggelamkan sebagai langkah pencegahan.
Sumber: Astro Awani
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam