Dalam penderitaan panjangnya iaitu bermula dari perangkap di Koridor Netzarim, melalui berek tentera sekitar Gaza, ke pusat-pusat soal siasat di Penjara Ofer, dan akhirnya ke tahap terakhir tahanan di penjara bawah tanah yang terkenal kejam, Penjara Rakefet di bandar Ramleh yang diduduki oleh bekas tahanan Palestin, M.N., mendedahkan melalui satu testimoni yang didokumentasikan oleh Asra Media tentang skala penghinaan, penyeksaan, dan kekejaman yang dilakukan oleh pengawal penjara Israel terhadap rakyat Palestin yang diculik dari Semenanjung Gaza.
M.N. memulakan keterangannya dengan berkata bahawa “kata-kata ini mesti sampai ke telinga hati nurani yang masih hidup, mungkin mereka boleh membantu menyelamatkan apa yang tinggal daripada tubuh para tahanan di sana.”
Beliau mengimbas penderitaannya sejak saat ditangkap:
“Pada 16 November 2023, saya telah ditangkap oleh tentera Israel di tempat yang saya panggil sebagai ‘Lintasan Perangkap’, iaitu ‘koridor selamat’ di pos pemeriksaan Netzarim sebagaimana yang dinamakan oleh pihak penjajah.”
Beliau menggambarkan penahanannya sebagai penghinaan dan tidak berperikemanusiaan: pemeriksaan berterusan, penghinaan, dan cercaan. Pemindahan dari Koridor Netzarim ke berek-berek di Gaza, katanya, adalah “memalukan dan hina serta tidak layak walau untuk haiwan sekalipun.”
“Anak-anak muda [yang diculik oleh tentera] ditutup matanya, digari dan dirantai. Mereka dipaksa berlutut, dilarang bercakap atau bergerak,” katanya.
M.N. menganggap dirinya bertuah kerana hanya menghabiskan satu hari di berek tersebut, sambil berdoa untuk para tahanan yang masih kekal di sana dalam keadaan diseksa.
Beliau meneruskan:
“Selepas itu, saya dipindahkan ke Penjara Ofer, di mana fasa soal siasat bermula dan berlangsung selama kira-kira enam minggu. Ia merupakan tempoh yang amat berat. Pegawai penyiasat menggunakan alat pengesan pembohongan dan memperdayakan kami kononnya jawapan kami salah untuk memaksa pengakuan lanjut.”
Seksyen 23 dan 10 di Penjara Ofer
M.N. menjelaskan bahawa tahanan dari Gaza ditempatkan dalam dua seksyen di Penjara Ofer:
“Seksyen 23 diperuntukkan untuk tahanan baru, di mana mereka dilayan dengan kekejaman yang melampau. Teriakan, cerca, dan bunyi pukulan kedengaran tiga kali sehari, menyebabkan pendarahan dan kecederaan tanpa sebarang rawatan perubatan. Kami dinafikan hak untuk mandi, menukar pakaian, atau menerima makanan yang mencukupi.”
Bagi Seksyen 10, seksyen pengasingan, beliau menggambarkannya begini:
“Ia mempunyai lima bilik kecil yang direka untuk dua atau tiga orang, tetapi semasa perang, sekitar tiga puluh tahanan disumbat ke dalamnya dan purata lapan orang bagi setiap bilik yang tidak lebih daripada tiga meter termasuk tandas.”
Dindingnya reput, kelembapan meresap masuk ketika musim sejuk, panas yang tidak tertanggung ketika musim panas, dan kebersihan hampir tiada.
“Tentera penjajah merantai dua tahanan bersama-sama di bahagian kaki dari jam 4 pagi hingga lewat malam. Kami hanya dapat tidur selama empat jam di atas tilam kotor dan lembap yang tidak cukup untuk semua orang.”
Penjara Rakefet, Penjara Bawah Tanah
Beliau menggambarkan Ofer sebagai “satu stesen neraka yang membuka jalan kepada sesuatu yang jauh lebih dahsyat“. Pada 10 September 2024, satu seksyen pengasingan baru dikenali sebagai Rakefet telah dibuka, terletak di bawah tanah dalam Penjara Nitzan di bandar Ramleh yang diduduki.
“Sekitar 28 hingga 30 tahanan dari Seksyen 10 di Ofer telah dipindahkan ke Rakefet dalam keadaan yang sangat kejam seperti dipukul dan digantung sebaik sahaja tiba. Kemudian, 40 hingga 45 lagi tahanan dari Seksyen 23 turut dipindahkan dalam keadaan yang sama.”
“Ketibaan kami terasa seperti satu kisah penderitaan, dengan darah, luka, patah tulang, dan seksaan yang tidak dapat digambarkan. Penderitaan berterusan di situ dengan penghinaan, pukulan, kelaparan, dan penyeksaan tanpa tidur di sebuah kemudahan yang mempunyai 25 bilik, setiap satu tidak lebih besar daripada 3×2 meter. Bilik-bilik itu hampir tidak cukup untuk dua orang, namun empat tahanan dipaksa tinggal bersama, seorang tidur di lantai.”
Dari jam 4 pagi hingga tengah malam, tilam-tilam ditarik keluar, dan tahanan dipaksa duduk di atas lantai kasar yang “sengaja direka untuk menyakitkan tubuh.”
“Kami duduk berlutut dengan kepala tunduk ke tanah. Perjumpaan langsung dengan pengawal adalah saat paling buruk iaitu mereka menggari tangan kami dari belakang setiap hari atas alasan pemeriksaan, menggerakkan kami dari satu bilik ke bilik lain atau membiarkan kami di tempat yang sama sambil memukul dan menghina.”
Mengenai apa yang disebut oleh pengawal Israel sebagai masa rehat (fura), M.N. berkata:
“Ia bukan waktu rehat seperti yang difahami oleh tahanan, tetapi sebuah bilik sedikit lebih besar daripada sel, tanpa cahaya matahari, tanpa udara, tanpa cahaya dan kami tetap digari di dalamnya. Kami dilarang solat, sama ada berjemaah atau bersendirian, malah membaca al-Quran atau berdoa secara perlahan juga diharamkan. Pengawal menafikan sebarang bentuk kelegaan dan menghukum kami jika kami memanggil mereka atau meminta sesuatu.”
Pengabaian Perubatan yang Sengaja
Bekas tahanan itu menegaskan bahawa rawatan perubatan di Rakefet “tidak wujud sama sekali.”
“Apabila keadaan seseorang tahanan semakin teruk, doktor hanya dipanggil selepas tempoh yang lama, dan walaupun begitu, tiada rawatan sebenar diberikan. Jangkitan kulit dan kudis merebak luas akibat pengabaian. Kami dipaksa menghina para pemimpin kami, keluarga kami, dan maruah kami sendiri. Pengawal sering menyembur gas lada ke dalam bilik tanpa menghiraukan tahanan yang menghidap penyakit pernafasan atau kronik. Warga tua dan pesakit kronik hidup dalam keadaan yang benar-benar menyayat hati.”
Sumber: Quds News Network
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








