Bagaimana Undang-undang dan Syarak Memastikan Ibubapa Uzur Tidak Terabai?

Usaha kerajaan untuk membawa pindaan undang-undang berkaitan nafkah ibu bapa uzur ke Dewan Rakyat pada Mac 2026 wajar dilihat sebagai langkah proaktif dan tepat pada masanya, terutamanya apabila Malaysia bersiap sedia menuju status negara tua menjelang 2030.

Apabila populasi warga emas semakin meningkat, isu kebajikan ibu bapa yang tiada pendapatan atau tidak berupaya menyara diri perlu ditangani melalui peruntukan undang-undang yang jelas dan selari dengan tuntutan syarak.

Sumber hukum menegaskan bahawa anak lelaki mahupun perempuan mempunyai tanggungjawab untuk membantu ibu bapa yang fakir dan tidak mampu menyara diri. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menjelaskan bahawa furu’ (anak-anak) wajib memberi nafkah kepada usul (bapa, ibu, datuk, nenek dan ke atas).

Ulama sepakat bahawa nafkah terhadap ibu bapa yang tidak berupaya adalah kewajipan yang tidak boleh dipinggirkan.

Dalam beberapa mazhab, bahagian tanggungan anak-anak diatur mengikut kemampuan, manakala pandangan lain menyesuaikannya dengan prinsip mirath. Namun intinya tetap sama iaitu semua anak turut memikul amanah.

Oleh itu, langkah kerajaan menyusun semula punca kuasa mahkamah syariah dan memperincikan undang-undang keluarga Islam adalah perkembangan positif. Ia bukan sahaja memudahkan proses tuntutan nafkah, malah memberi keyakinan kepada ibu bapa bahawa kebajikan mereka tidak diabaikan.

Penyelarasan melalui Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan (JPIK) dan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) menunjukkan kesungguhan kerajaan memastikan keseragaman undang-undang di seluruh negeri. Langkah ini juga menutup ruang kekaburan perundangan yang sebelum ini menimbulkan kekeliruan dalam sesetengah kes.

Dalam tempoh pindaan dimuktamadkan, advokasi melalui program keluarga dan hebahan media amat penting kerana kesedaran masyarakat menjadi kunci pelaksanaan yang berkesan.

Anak yang berjaya hari ini adalah hasil pengorbanan ibu bapa. Menyantuni mereka melalui nafkah sepatutnya menjadi budaya, bukan sekadar menunggu arahan mahkamah.

Pindaan ini hadir tepat pada waktunya, demi masa depan keluarga Malaysia yang lebih terjamin dan menzahirkan nilai kekeluargaan sejati.

Sumber: Sinar islam

📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts