“Di mana anak saya?” – Ibu belum tahu bayi 7 bulan telah Syahid

HEBRON, 22 Zulhijjah – Seorang ibu Palestin yang cedera akibat ditembak tentera Israel terus bertanyakan keadaan anaknya yang berusia tujuh bulan, tanpa menyedari bayi tersebut telah syahid dalam kejadian di Hebron, Tebing Barat yang diduduki.

Tragedi itu berlaku tepat pada hari bayi berkenaan, Sam Fahd Abu Haikal, genap berusia tujuh bulan.

Menurut keluarga mangsa, Sam berada di dalam sebuah kenderaan bersama ibu bapanya, abang berusia 11 tahun dan neneknya apabila tentera Israel melepaskan tembakan ke arah mereka di kawasan Tel Rumeida pada Jumaat.

Bayi itu dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal sebelum disahkan meninggal dunia.

Nenek mangsa, Ferial Abu Haikal, berkata keluarga memilih untuk tidak memaklumkan kematian Sam kepada ibunya yang turut cedera kerana bimbang kesan emosi terhadap keadaan kesihatannya.

“Dia sentiasa bertanya tentang anaknya ketika berada di hospital, tetapi kami tidak sanggup memberitahu perkara sebenar kerana khuatir kejutan yang bakal diterimanya,” katanya.

Ferial berkata, keluarga mereka telah memberhentikan kenderaan selepas melihat anggota dan kenderaan tentera Israel di hadapan.

Pada awalnya, mereka menyangka bunyi yang didengari hanyalah tembakan amaran.

Namun, menurutnya, sebutir peluru mengenai Sam sebelum menembusi mukanya dan terus ke bahagian kepala. Peluru yang sama turut mencederakan ibunya.

Sementara itu, bapa mangsa, Fahd Abu Haikal yang juga pensyarah di Bethlehem University, berkata beliau telah mematuhi arahan tentera untuk berhenti sebelum tembakan dilepaskan.

“Anggota tentera itu mengarahkan saya berhenti. Saya memberhentikan kereta sepenuhnya dan meletakkan kedua-dua tangan di stereng.

“Selepas itu mereka terus melepaskan tembakan ke arah kenderaan kami,” katanya.

Beliau berkata, anggota tentera berkenaan berada kira-kira 10 meter dari kenderaan mereka dan dapat melihat dengan jelas bahawa mereka adalah sebuah keluarga.

“Dia nampak saya, nampak isteri saya dan anak-anak. Cermin kereta tidak gelap, keadaan masih siang dan semuanya jelas.

“Tidak mungkin dia tidak tahu bahawa kami sebuah keluarga,” katanya.

Ketika pengebumian Sam pada Sabtu, Fahd berkata anggota tentera terbabit melepaskan tembakan sebelum beredar tanpa memberikan sebarang penjelasan.

“Kereta kami langsung tidak bergerak ketika dia menembak.

“Anak saya baru berusia tujuh bulan. Dia tidak bersalah dan tidak sepatutnya menerima nasib seperti ini,” katanya.

Menurut United Nations (PBB), lebih 1,000 rakyat Palestin terbunuh di Tebing Barat dan East Jerusalem sejak perang di Gaza bermula pada Oktober 2023, termasuk sekurang-kurangnya 240 kanak-kanak.

Sumber: TV PERTIWI

📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts