Rata-rata stesen berita melaporkan bahawa Hamas telah melepaskan pentadbiran di Gaza hari ini selepas 23 tahun menerajui wilayah tersebut.
Apa yang sebenarnya berlaku ialah Hamas membubarkan Jawatankuasa Pengurusan Kecemasan Kerajaan (Governmental Emergency Committee) dan menggantikannya dengan sebuah badan baharu yang dinamakan Pihak Berkuasa Sementara bagi Perkhidmatan Kerajaan (Temporary Authority for Government Services).
Langkah ini merupakan sebahagian daripada mekanisme yang dipersetujui dalam rundingan di Kaherah. Tujuannya adalah untuk menunjukkan kesungguhan Hamas dalam memudahkan proses kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Namun, tindakan ini bukan bermaksud Hamas telah melepaskan kuasa pentadbiran Gaza. Pentadbiran masih diteruskan, cuma melalui struktur yang berbeza bagi fasa peralihan.
Untuk memahami perkara ini, perlu diketahui bahawa Jawatankuasa Susulan Kerja Kerajaan (Government Work Follow-up Committee) telah berfungsi sebagai kabinet de facto Hamas sejak tahun 2019, selepas pembubaran Jawatankuasa Pentadbiran (Administrative Committee). Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Kecemasan Kerajaan (Governmental Emergency Committee) diwujudkan pada November 2019 dan memainkan peranan sebagai badan penyelaras utama, khususnya selepas Oktober 2023. Kedua-dua badan ini telah beroperasi secara serentak sejak beberapa tahun lalu.
Dalam surat peletakan jawatan yang dikeluarkan hari ini, Muhammad Abd al-Khaliq al-Farra, mantan Ketua Jawatankuasa Susulan Kerja Kerajaan, menulis:
“Saya mengemukakan peletakan jawatan daripada jawatan sebagai Pemangku Ketua Jawatankuasa Susulan Kerja Kerajaan dan Ketua Jawatankuasa Pengurusan Kecemasan Kerajaan.
Mereka yang akan terus kekal dalam jawatan kerajaan hanyalah pegawai dan kakitangan di peringkat perkhidmatan, profesional serta teknikal. Mereka akan terus menjalankan tugas demi memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan mengelakkan berlakunya kekosongan pentadbiran serta gangguan keselamatan, selaras dengan Pelan Hala Tuju (Road Map) dan persetujuan yang dicapai oleh semua faksi Palestin di Kaherah.
Sehubungan itu, badan pentadbiran yang tinggal akan beroperasi dengan nama Pihak Berkuasa Sementara bagi Perkhidmatan Kerajaan (Temporary Authority for Government Services), tertakluk kepada undang-undang dan peraturan Palestin yang berkuat kuasa.”
Bagi fasa peralihan ini, pentadbiran akan diketuai oleh Dr. Abdul Hadi al-Agha, yang telah lama berkhidmat dalam pentadbiran awam Gaza. Sebelum ini, beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Wakaf dan Hal Ehwal Agama dalam Jawatankuasa Susulan Kerja Kerajaan.
Kesimpulannya, dakwaan bahawa Hamas telah menyerahkan atau melepaskan pentadbiran Gaza pada hari ini adalah tidak tepat. Apa yang berlaku ialah penyusunan semula struktur pentadbiran sebagai sebahagian daripada proses yang dipersetujui dalam rundingan di Kaherah, manakala fungsi pentadbiran kepada rakyat Gaza tetap diteruskan.
Sumber: Mujamma’ al-Harakat & Penyelidik Dunia Palestin
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








