BANGI, 14 ZULKAEDAH – Peguam kanan, Lukman Sheriff berpandangan isu penternakan babi di Selangor sepatutnya sudah selesai selepas titah awal Sultan Sharafuddin Idris Shah, namun masih berlanjutan sehingga kini.
Menurut beliau, keadaan itu menimbulkan persoalan kerana isu berkenaan seharusnya telah reda selepas titah pertama Sultan Selangor dikeluarkan. Katanya, kemungkinan wujud tekanan politik yang kuat sehingga berlaku campur tangan Persekutuan dalam urusan negeri.
Semalam, Sultan Selangor menerusi satu kenyataan media bertitah supaya isu penternakan babi di Selangor dimuktamadkan serta mengekalkan larangan terhadap penternakan haiwan yang menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk dan alam sekitar.
Sebelum ini, ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor pada 20 April lalu, baginda turut menzahirkan rasa kecewa apabila terdapat pihak yang membantah usaha menghentikan penternakan babi.
Sehubungan itu, Lukman menyeru semua pihak menghentikan polemik berkaitan isu berkenaan dan menghormati titah Sultan Selangor. Beliau menyifatkan pendirian baginda kini jelas dan tegas, sekali gus meminta semua pihak akur terhadap titah tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas tindakan segelintir ahli politik yang membangkitkan soal kesamarataan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dalam isu tersebut.
Menurutnya, hujah menggunakan prinsip equality atau kesamarataan bagi haiwan di bawah Perkara 8 adalah tidak tepat kerana peruntukan itu hanya terpakai kepada manusia dan bukannya binatang. Beliau secara sinis menyatakan bahawa jika Perkara 8 terpakai kepada haiwan, maka nyamuk juga tidak boleh dibunuh.
Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan antara lain memperuntukkan bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang serta berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.
Lukman turut mendakwa bahawa Perkara 8 sering dibangkitkan dalam isu tersebut bagi mewujudkan persepsi bahawa wujud unsur perkauman dalam perbahasan berkaitan penternakan babi di Selangor.
Sumber: TV Pertiwi
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








