BANGI, 14 Zulkaedah – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan agar isu penternakan babi dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya bagi mengelakkan keresahan masyarakat serta memastikan keamanan dan keharmonian rakyat di Negeri Selangor terus terpelihara.
Setiausaha Sulit Kanan kepada Sultan Selangor, Dato Mohamad Munir Bani berkata, baginda kekal dengan pendirian seperti yang ditegaskan menerusi kenyataan media pada 10 Februari lalu bahawa Sultan Selangor tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.
Katanya, pendirian tersebut dibuat setelah mengambil kira implikasi penternakan babi yang boleh menyebabkan pencemaran tanah, udara serta risiko pencemaran sumber air sungai melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan babi.
Beliau berkata, baginda turut menzahirkan kebimbangan bahawa aktiviti berkenaan boleh menjejaskan kawasan tadahan air dan sungai yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada kira-kira sembilan juta penduduk di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Selain itu, katanya, kaedah penternakan moden yang mematuhi piawaian memerlukan kos amat tinggi dan tidak praktikal untuk dilaksanakan semata-mata bagi memenuhi bekalan daging babi di Negeri Selangor.
Sehubungan itu, baginda mencadangkan agar daging babi diimport dari negeri lain seperti Sarawak bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam di Selangor. Malah, katanya, negara seperti Singapura juga tidak menternak babi dan mengimport bekalan daging tersebut dari luar negara.
Sultan Selangor turut berpandangan bahawa penternakan babi sama ada berskala besar mahupun kecil tidak sesuai dilaksanakan di Negeri Selangor memandangkan sumber tanah yang terhad serta nilai hartanah yang tinggi, yang sepatutnya dimanfaatkan untuk pembangunan lebih ekonomik dan memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh.
Ketika istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor baru-baru ini, baginda bertitah:
“Beta telah memberikan faktor-faktor kenapa ternakan babi tidak sesuai di negeri Selangor antaranya faktor tanah yang tidak mencukupi dan ternakan babi diadakan di kawasan penempatan penduduk yang padat dengan umat Islam.
“Di samping itu, isu pencemaran sungai dan udara juga menjadi faktor kenapa ternakan babi di negeri Selangor tidak sesuai,” titah baginda.
Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki mempertahankan penternakan babi di Selangor atas dasar hak kesamarataan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ketika membahaskan titah Sultan Selangor, beliau berkata isu penternakan babi menyentuh hak kesamarataan warga negara yang dijamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya lagi, penternakan babi tidak seharusnya dibezakan daripada penternakan haiwan lain.
Sumber: TV Pertiwi
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








