BANGI, 12 JAMADILAKHIR – Pembebasan 171 lelaki warga tempatan selepas permohonan reman terhadap mereka ditolak Majistret susulan serbuan di sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kit kelmarin menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan dwi-sistem perundangan negara, menurut Presiden Gabungan Nasionalis, Haji Aminuddin Yahaya.
Beliau menegaskan, keadaan sebegitu tidak akan berlaku sekiranya Malaysia tidak bergelut dengan struktur undang-undang yang berasingan antara syariah dan sivil.
“Keadaan ini berlaku kerana kita mempunyai dwi-sistem perundangan; syariah dan sivil. Kedua-dua sistem ini sering menjadi punca pertikaian, di mana dalam banyak kes, Mahkamah Syariah akan tewas. Mahkamah Syariah sering dianggap kelas kedua dan keputusan boleh dicabar,” katanya.
Aminuddin menekankan bahawa persoalan mengenai sejauh mana dua sistem ini boleh terus wujud secara selari perlu segera dijawab.
“Sampai bila perkara ini harus berlaku? Sampai bila negara perlu mengekalkan dua sistem perundangan?” soalnya.
Dalam serbuan itu, 171 lelaki warga tempatan dibebaskan dengan jaminan selepas permohonan reman ditolak Majistret kerana dikemukakan lewat.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, menjelaskan punca kelewatan tersebut.
“Kenapa lewat? Kerana tangkapan ramai. Proses untuk mengklasifikasikan satu persatu menyebabkan permohonan reman lambat dibuat, lalu Majistret menolaknya,” jelas beliau.
Daripada 202 individu yang ditahan, hanya 31 warga asing direman selama dua hari.
Aminuddin berkata, insiden itu menunjukkan bagaimana ketidakselarasan antara dua sistem undang-undang sering menimbulkan kekeliruan dalam penguatkuasaan.
“Untuk mengelakkan pertikaian sebegini, sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan usaha menharmonikan kedua-dua sistem perundangan agar negara akhirnya hanya mempunyai satu sistem,” katanya.
Beliau menambah, usaha itu bukan mustahil kerana negara pada asalnya hanya mempunyai satu sistem perundangan sebelum diperkenalkan sistem penjajah.
“Ini bukan mustahil dan pernah berlaku. Negara asalnya mempunyai satu sistem perundangan, tetapi dengan kemasukan penjajah, kita terpaksa menerima sistem mereka, sehingga kini berdepan dua sistem yang bersaing. Ada pihak juga mengambil kesempatan atas kekeliruan ini,” katanya.
Aminuddin turut menjelaskan bahawa beberapa pihak pernah memulakan usaha menyelesaikan isu ini, tetapi tidak mendapat perhatian sewajarnya.
“Usaha ini sebenarnya sudah dijalankan oleh beberapa pihak, namun tiada yang mengangkatnya. Oleh itu, kami meminta kerajaan mengambil inisiatif untuk membawa isu ini ke Dewan Rakyat,” katanya.
Sumber: TV Pertiwi
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








