Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) menggesa kerajaan Malaysia memperhebat tekanan diplomatik di peringkat antarabangsa susulan keputusan Knesset Israel meluluskan hukuman mati terhadap tahanan Palestin, yang disifatkan sebagai pencabulan serius terhadap hak asasi manusia serta undang-undang antarabangsa.
Ketua Kluster Perundangan GSPP, Muhammad Hisham Marzuki dalam satu kenyataan menegaskan bahawa keputusan tersebut bercanggah dengan prinsip asas hak untuk hidup seperti yang termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR), khususnya Artikel 3 yang menjamin hak setiap individu terhadap kehidupan, kebebasan dan keselamatan diri.
Menurut beliau, tindakan itu juga melanggar Artikel 6 International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR) yang menekankan bahawa hak untuk hidup adalah hak yang tidak boleh diganggu gugat. Selain itu, ia turut bercanggah dengan Artikel 3 Konvensyen Geneva Keempat (1949) yang melarang pelaksanaan hukuman tanpa proses perbicaraan yang adil.
GSPP turut memberi amaran bahawa hukuman mati tersebut berisiko dijadikan sebagai alat penindasan politik terhadap rakyat Palestin, sekali gus menambah penderitaan mereka yang telah lama hidup di bawah penjajahan dan tekanan berterusan.
Sehubungan itu, gabungan berkenaan menyeru masyarakat antarabangsa termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh dunia agar bangkit memberi tekanan serta menolak keputusan tersebut.
Dalam masa sama, GSPP menggesa Malaysia memainkan peranan yang lebih tegas di platform Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menghentikan tindakan yang disifatkan sebagai kezaliman terhadap rakyat Palestin.
Menurut GSPP, Malaysia bersama negara-negara sahabat khususnya di Asia Barat perlu memperkukuh solidariti, meningkatkan tekanan diplomatik serta menyuarakan bantahan secara berterusan di forum antarabangsa.
Gabungan itu turut menegaskan bahawa pelaksanaan hukuman mati terhadap rakyat Palestin merupakan satu bentuk jenayah perang dan apartheid yang tidak boleh diterima oleh masyarakat dunia.
Tegas GSPP, kezaliman tersebut tidak akan mematahkan semangat perjuangan rakyat Palestin, malah masyarakat antarabangsa perlu terus berdiri teguh bersama mereka dalam menuntut kebebasan, keadilan serta hak untuk hidup tanpa penindasan.
Sumber: Dunia Palestin
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








