GAZA, 1 Zulkaedah – Seorang wanita Palestin, Saeda al-Shrafi, mendakwa melalui pengalaman traumatik ketika ditahan oleh tentera Israel selama kira-kira enam minggu selepas cuba melarikan diri dari utara Gaza pada penghujung tahun 2023.
Al-Shrafi berkata, beliau ditahan ketika melalui laluan yang digambarkan sebagai “koridor selamat” bersama dua anak kecil dan ahli keluarganya susulan arahan pemindahan akibat serangan berterusan di Gaza.
Menurutnya, ketika kejadian, seorang anggota tentera mengarahkannya melalui pembesar suara supaya menyerahkan anak kecilnya kepada ahli keluarga lain sebelum menghampiri tentera Israel.
“Anak saya yang berusia setahun berpaut pada pakaian saya dalam ketakutan. Saya menangis kerana menyangka itu kali terakhir saya melihat mereka,” katanya.
Beliau kemudian mendakwa dipisahkan daripada anak-anaknya di pusat pemeriksaan sebelum ditahan, ditutup mata, dibogelkan untuk pemeriksaan, dipukul dan dibawa ke lokasi tahanan.
Dalam satu insiden soal siasat, beliau berkata seekor anjing dibawa berhampiran sehingga menyebabkan beliau mengalami ketakutan melampau dan panik.
“Saya ketakutan, menggigil dan hilang kawalan diri,” katanya.
Sepanjang tempoh tahanan, beliau mendakwa disoal siasat berulang kali serta diugut bahawa anak-anaknya akan dicederakan jika enggan memberikan maklumat.
Al-Shrafi turut berkata beliau pada awalnya tidak mempercayai sesiapa di dalam tahanan dan hanya memikirkan keselamatan anak-anaknya.
Menurutnya, beberapa tahanan lain dibawa keluar satu persatu untuk soal siasat, dengan ada yang kembali dalam keadaan trauma dan tidak mampu bercakap, manakala sebahagian lagi dipindahkan ke kurungan bersendirian.
Beliau juga mendakwa menyaksikan keadaan tahanan wanita lain yang mengalami tekanan berat, termasuk seorang yang keguguran di dalam tandas sel selepas didakwa diberitahu bahawa suaminya telah dibunuh.
Selepas itu, beliau dipindahkan ke beberapa pusat tahanan termasuk penjara di kawasan Negev, dengan keadaan yang disifatkan sebagai sesak, kekurangan makanan, tiada rawatan perubatan serta larangan untuk berkomunikasi.
Dalam satu kejadian, beliau berkata pegawai penjara memberitahu mereka akan dibebaskan, namun kemudiannya dibawa ke lokasi lain sebelum akhirnya benar-benar dilepaskan.
“Perkara itu hanya untuk mematahkan semangat kami,” katanya.
Beliau juga mendakwa sering dipukul, ditarik rambut dan dipaksa bergerak dalam keadaan menghinakan. Dalam satu keadaan, beliau hampir tidak mampu berdiri akibat tekanan fizikal.
Selepas kira-kira satu setengah bulan, beliau dibebaskan dan diserahkan kepada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa sebelum bertemu semula dengan keluarganya di Gaza.
Namun, kepulangannya tidak membawa ketenangan sepenuhnya.
“Anak bongsu saya tidak mengenali saya. Dia takut kepada saya,” katanya.
Beliau berkata pengalaman tersebut meninggalkan kesan mendalam termasuk trauma berpanjangan serta kesukaran untuk menyesuaikan diri semula dengan kehidupan normal.
“Saya masih memikirkan tahanan lain setiap hari. Saya tertanya-tanya sama ada mereka makan atau bagaimana keadaan mereka sekarang,” katanya.
Sumber: TV Pertiwi
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








