BANGI, 16 ZULKAEDAH – Umat Islam diseru agar memahami Islam sebagai satu cara hidup yang menyeluruh, khususnya dalam menilai isu sosial dan hiburan dalam masyarakat.
Aktivis, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim Mohamad menegaskan bahawa masih terdapat segelintir umat Islam yang tidak memahami konsep Islam secara holistik, apabila mereka mengehadkan agama hanya kepada aspek individu semata-mata.
Menurut beliau, wujud tanggapan bahawa seorang Muslim memadai menjadi individu yang baik tanpa perlu mengambil tahu atau terlibat dalam urusan masyarakat lain yang dianggap sebagai hak peribadi.
Antara isu yang sering dilihat dalam konteks ini termasuk pergaulan bebas, pengambilan arak, penyalahgunaan dadah, perzinaan, konsert, aktiviti hiburan seperti pesta air, serta pelbagai bentuk jenayah yang dianggap tidak perlu dipedulikan selagi tidak mengganggu kehidupan umat Islam.
Namun, beliau mempersoalkan kefahaman tersebut dan menegaskan bahawa ia tidak selaras dengan ajaran Islam yang sebenar.
Mengulas Surah Al-Kafirun, beliau menjelaskan bahawa ayat “bagi kamu agama kamu dan bagi kami agama kami” perlu difahami berdasarkan konteks sebab penurunannya, dan tidak boleh digunakan secara umum untuk menolak tanggungjawab Islam yang lebih luas.
Tambahnya, terdapat banyak ayat lain dalam Al-Quran yang menekankan kewajipan amar makruf dan nahi mungkar, termasuk mengajak kepada kebaikan, memberi nasihat, menentang kemungkaran, hidup secara berjemaah serta menjaga kesucian agama.
Beliau turut menegaskan bahawa sirah Rasulullah SAW menjadi panduan jelas dalam menunjukkan bagaimana umat Islam perlu berinteraksi dengan masyarakat yang terlibat dalam kerosakan dan kemungkaran.
Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan agar umat Islam tidak berputus asa dalam melaksanakan tuntutan agama walaupun tanpa kewujudan institusi khilafah atau negara Islam seperti zaman dahulu.
“Adakah kita mahu menunggu sehingga umat Islam di negara ini ditindas dan diperlakukan dengan kejam seperti di tempat lain, barulah kita mahu menyemak kembali apa yang Allah SWT nyatakan tentang isu masyarakat dan negara?
“Masuklah ke dalam Islam secara menyeluruh,” katanya, sambil menegaskan bahawa Islam merangkumi aspek kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan negara secara lengkap.
Sebelum ini, penganjuran pesta hiburan berskala besar termasuk acara yang dikaitkan dengan budaya hedonisme seperti pesta air di kawasan bandar terus menjadi perdebatan awam, kerana dibimbangi memberi kesan terhadap pembentukan sahsiah masyarakat serta nilai moral generasi muda.
Sumber: TV Pertiwi
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








