Lebih enam dekad selepas kemerdekaan, kedudukan bahasa Melayu dalam pentadbiran kerajaan, pendidikan, perundangan serta media arus perdana dianggap berada pada tahap memberangsangkan.
Namun, situasi berbeza di sektor swasta apabila bahasa Inggeris kekal sebagai medium utama komunikasi rasmi, perniagaan dan profesional. Laporan tahunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) banyak menonjolkan kejayaan program, penerbitan serta kerjasama antarabangsa, tetapi masih kurang data kuantitatif mengenai tahap penggunaan bahasa Melayu di sektor swasta. Kekosongan ini menjadikan pencapaian Bahasa Kebangsaan di luar sektor kerajaan sukar diukur secara menyeluruh.
Kajian akademik turut mengesahkan keadaan tersebut. Satu tinjauan pada 2014 menunjukkan bahasa Inggeris menguasai komunikasi korporat, manakala bahasa Melayu hanya digunakan dalam dokumen tertentu yang disediakan secara dwibahasa.
Menurut penyelidik bahasa, Hassan Baseri Budiman (2017), antara faktor penyumbang ialah proses penswastaan agensi kerajaan yang akhirnya memperkukuh dominasi bahasa Inggeris serta melemahkan kedudukan bahasa Melayu dalam pentadbiran syarikat swasta.
Maklumat terkini menunjukkan cabaran utama ialah kekurangan istilah teknikal mantap dalam bahasa Melayu, khususnya dalam sektor teknologi maklumat, kewangan dan kejuruteraan. Selain itu, wujud persepsi bahawa bahasa Inggeris lebih berprestij dan profesional, manakala bahasa Melayu dianggap kurang sesuai untuk urusan korporat.
Walau bagaimanapun, terdapat juga pencapaian positif. Beberapa syarikat perbankan, telekomunikasi dan utiliti masih menyediakan kontrak serta borang perkhidmatan dalam dwibahasa. Industri peruncitan dan iklan tempatan turut menggunakan bahasa Melayu bagi menarik pelanggan, manakala beberapa platform digital tempatan menawarkan antaramuka dalam bahasa Melayu sebagai pilihan.
Kerajaan dan DBP sebelum ini pernah menggesa sektor swasta memperkukuh penggunaan Bahasa Kebangsaan. Pada 2022, DBP menyatakan harapan agar lebih banyak syarikat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam urusan dalaman, manakala Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pula menekankan keperluan sektor swasta menjadi “pemain utama” memperluas penggunaannya terutama dalam media, pengiklanan dan kewangan.
Namun, gesaan itu masih berbentuk nasihat diplomatik tanpa dasar yang wajib dipatuhi. Hakikatnya, penggunaan bahasa Melayu di sektor swasta masih bersifat simbolik dan lebih ditujukan kepada pelanggan, bukan sebagai bahasa utama pentadbiran.
Syarikat multinasional dan korporat besar pula kekal memilih bahasa Inggeris atas alasan kecekapan operasi dan jaringan global. Situasi ini menunjukkan kedudukan bahasa Melayu dalam sektor swasta masih jauh daripada dominan meskipun berstatus bahasa rasmi negara.
Bagi memperkukuh penggunaannya, cadangan seperti audit bahasa di sektor swasta, insentif cukai atau pengiktirafan kepada syarikat yang mengutamakan bahasa Melayu wajar dipertimbangkan. Langkah ini bukan sahaja memperluas pemakaian bahasa Melayu, tetapi turut menegaskan bahawa Bahasa Kebangsaan mampu berperanan sebagai bahasa ekonomi dan perniagaan setanding dengan bahasa global lain.
Bahasa Melayu tidak seharusnya dilihat sekadar lambang identiti nasional, tetapi mesti diterjemahkan sebagai bahasa kerja dan komunikasi rasmi dalam semua sektor bagi memastikan kedudukannya benar-benar kukuh, bukan hanya sekadar simbolik.
Sumber: TV Pertiwi
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam