Satu fenomena kecerdasan buatan (AI) yang tular di media sosial kini menjadi cara baharu rakyat Palestin untuk mengabadikan kenangan bersama insan tersayang yang terkorban akibat serangan Israel di Gaza.
Melalui teknologi ini, gambar-gambar yang seolah-olah merakam momen keluarga bersama mangsa, sama ada sedang meraikan hari lahir, menikmati suasana rumah, atau bergambar dengan ahli keluarga yang dihasilkan semula oleh AI, sekaligus mencipta “memori baharu” yang tidak sempat wujud di dunia nyata.
Fenomena ini mencetuskan emosi mendalam di kalangan keluarga mangsa serta masyarakat global. Ramai menyifatkannya sebagai cara untuk “menghidupkan semula” wajah mereka yang telah pergi, sekurang-kurangnya dalam bentuk visual yang menyentuh perasaan.
Namun begitu, penggunaan AI ini juga menimbulkan perdebatan. Ada yang berpendapat ia mampu menjadi ruang penyembuhan psikologi bagi keluarga yang berduka, sementara yang lain bimbang ia boleh mengaburkan fakta sejarah sekiranya digunakan tanpa kawalan.
Menurut laporan, fenomena ini muncul di tengah-tengah peningkatan jumlah korban yang kini mencecah puluhan ribu nyawa sejak serangan Israel ke atas Gaza bermula. Aktivis hak asasi manusia menegaskan, di sebalik kreativiti teknologi ini, dunia tidak boleh melupakan realiti sebenar penderitaan rakyat Palestin yang terus berdepan kekejaman dan penghapusan berterusan.
Fenomena AI ini kini menjadi simbol duka dan ketabahan. Ia juga satu bentuk memorial digital yang mengingatkan dunia bahawa di sebalik angka korban, setiap nyawa mempunyai kisah, memori, dan impian yang tidak sempat menjadi kenyataan.
Sumber: Quds News Network
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam