Hukum membaca doa Iftitah selepas membaca Al-Fatihah

Bolehkah saya membaca doa iftitah selepas membaca Surah al-Fatihah kerana terlupa?

Ringkasan Jawapan

Jika seseorang itu telah mula membaca isti‘azah atau telah mula membaca Surah al-Fatihah, atau telah selesai membacanya, maka dia tidak disunatkan untuk membaca doa iftitah kerana tempoh waktu untuk membacanya telah berlalu. Namun jika dia tetap membacanya, ia tidak membatalkan solat.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga, sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian.

Hukum membaca doa iftitah dalam solat ialah sunat menurut mazhab Syafi‘e. Menurut pandangan Imam Syihabuddin al-Ramli:

يُسَنُّ لِلْمُصَلِّي بَعْدَ تَحَرُّمِهِ وَلَوْ بِالنَّفْلِ: (وَجَّهْتُ وَجْهِي…)

Maksudnya: Disunatkan bagi orang yang solat untuk membaca doa iftitah setelah dia mengangkat takbiratul ihram, walaupun ketika solat sunat.

Namun hukum sunat ini dikira luput sekiranya dia telah mula membaca isti‘azah. Hal ini dijelaskan oleh Syeikh Sa‘id Ba‘isyin:

(وَيَفُوتُ) نَدْبُ دُعَاءِ الافتِتاحِ (بِالتَّعَوُّذِ) أي: بِالشُّرُوعِ فِيه، أَوْ فِي القراءةِ، وَلَوْ سَهْوًا

Maksudnya: Hukum sunat membaca doa iftitah itu dikira luput jika dia membaca isti‘azah, meskipun dia membacanya secara tidak sengaja.

Sekiranya dia telah membaca isti‘azah atau telah pun membaca Surah al-Fatihah, maka dia tidak disunatkan lagi untuk membaca doa iftitah, kerana tempoh untuk membacanya (iaitu selepas takbiratul ihram) telah berlalu.

Begitu juga dengan penerangan yang diberikan oleh Syeikh Mahfuz al-Tarmasi:

أَنَّ دُعَاءَ الافتِتاحِ إِنَّمَا يُسَنُّ بِشُروطٍ خَمْسة …… وَأَنْ لَا يَشْرع المصلي مُطْلَقًا في التعوذ أو القراءة

Maksudnya: Sesungguhnya doa iftitah itu hanya disunatkan jika ia menepati lima syarat …. (Salah satunya adalah) hendaklah orang yang solat itu belum mula membaca isti‘azah atau membaca Surah al-Fatihah.

Namun jika dia tetap membacanya, sama ada dalam rakaat yang sama, atau pada rakaat yang berikutnya, maka solatnya tetap sah kerana doa iftitah itu merupakan zikir. Bahkan solat tetap sah jika dia memberhentikan bacaan al-Fatihah secara sengaja untuk membaca doa iftitah, kerana perbuatan tersebut tidak merosakkan bentuk zahir solatnya.

Wallahu alam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts