Hukuman sebat bersifat mendidik: EXCO negeri

 

KUALA TERENGGANU: Hukuman sebat yang dijalankan terhadap pasangan kekasih songsang di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, adalah bersifat mendidik dan memberi pengajaran kepada pelaku dan masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasan Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat, menegaskan hukuman yang dilaksanakan itu bukanlah untuk mencederakan atau menzalimi mana-mana pihak.

Bagaimanapun, katanya, hukuman itu boleh dianggap sebagai amaran kepada masyarakat bagi menjauhi perbuatan maksiat lebih-lebih lagi zina yang ditegah dalam Islam.

“Hukuman itu dijalankan kepada umum supaya masyarakat dapat mengetahui sedikit sebanyak mengenai cara pelaksanaan sebatan itu dijalankan.

“Yang penting masyarakat boleh mengambil iktibar daripada apa yang berlaku terhadap dua wanita berkenaan supaya 1.1 juta rakyat Terengganu dan juga di luar mengambil pengajaran sekali gus mengelakkan kesalahan sama berulang,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, dalam kenyataan berkata pelaksanaan hukuman sebat terhadap pelaku musahaqah (lesbian) yang dijalankan hari ini membuktikan Islam menyantuni pesalah.

Katanya, hukuman sebatan syariah yang dijalankan dalam keadaan pesalah memakai pakaian menutup aurat, menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dulu, ringan dan tidak melukakan membuktikan kepada masyarakat yang mempertikaikan hukuman berkenaan.

“Hukuman sebat syariah masih melindungi maruah pesalah, maka sebab itu mereka dibenarkan memakai pakaian menutup aurat, baik lelaki atau wanita. Berbeza dengan sebatan sivil dan barat, pesalah akan ditelanjangkan, hanya bahagian kemaluan sahaja ditutup dengan kain atau cawat, dan bahagian punggungnya akan diikat pada abah-abah dengan tali pinggang.

“Ia membuktikan bahawa sebatan syariah tidak kejam dan zalim seperti didakwa sesetengah pihak,” katanya.

Menjawab persoalan kehadiran orang ramai yang menyaksikan pelaksanaan hukuman itu, Musa berkata kehadiran mereka bukanlah bertujuan menjatuhkan kehormatan atau memalukan pesalah sebaliknya untuk memberi mesej kepada orang lain mengenai kesalahan dan akibat selain menimbulkan kegerunan dan pencegahan.

Pada 18 Ogos lalu, pasangan lesbian berusia 22 dan 32 tahun dijatuhi hukuman denda sebanyak RM3,300 setiap seorang dan enam sebatan selepas mengaku salah kerana cuba melakukan seks sejenis.

Pasangan itu ditahan ketika sedang bermadu asmara di dalam sebuah kereta di Arena Merdeka, Dungun, pada 8 April lalu. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts