Imam Belanda Digantung: Kecamannya Memuncak Selepas Bertemu Presiden Rejim Zionis


Yayasan Masjid Bilal di Alkmaar, Belanda Utara, telah menggantung tugas Imam Youssef Msabih serta mengumumkan tindakan undang-undang terhadap beliau selepas lawatannya ke tempat rejim Zionis, atas alasan tindakan tersebut telah mencemarkan nama baik masjid dan menjejaskan reputasinya.

Youssef Msabih, seorang imam kelahiran Maghribi, merupakan salah seorang daripada 15 pendakwah Muslim yang menghadiri pertemuan dengan Presiden rejim Zionis, Isaac Herzog, di Baitulmaqdis pada hari Isnin lalu.


Lagu Kebangsaan Rejim Zionis Jadi Punca Kontroversi

Delegasi tersebut hadir atas jemputan untuk membincangkan konsep “kewujudan bersama antara agama”. Herzog memuji kumpulan tersebut kerana kononnya berusaha membina jambatan persefahaman, dialog, dan toleransi beragama.

Namun, tindakan Imam Msabih menyanyikan versi terjemahan lagu kebangsaan rejim Zionis dalam bahasa Arab dengan irama Timur Tengah telah mencetuskan kemarahan dan kekecewaan masyarakat Islam.


Masjid Bilal Ambil Tindakan Serta-Merta

Masjid Bilal dalam kenyataan rasmi yang dimuat naik di Instagram menyatakan:

“Berikutan kenyataan politik yang dibuat oleh imam berkenaan, pihak dewan pengurusan telah memutuskan untuk menggantung beliau serta-merta. Mulai saat ini, pihak masjid tidak mempunyai sebarang kaitan dengannya.”

Pihak pengurusan masjid juga menggesa masyarakat untuk kekal bersatu dan mengelakkan tekanan terhadap dewan, sukarelawan atau jemaah:

“Masjid dan jemaahnya perlu dijauhkan daripada kemelut ini.”


Pertemuan tersebut dianjurkan oleh ELNET, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempromosikan hubungan antara negara Eropah dan rejim Zionis.

Delegasi imam Eropah itu diketuai oleh Imam Hassen Chalghoumi dari Perancis, yang terkenal dengan pendiriannya yang menyokong rejim Zionis dan pernah melawat Tebing Barat yang diduduki pada 2019 atas jemputan peneroka haram.

Dalam ucapannya, Chalghoumi menyindir kumpulan pejuang seperti Hamas dan Hizbullah:

“Apa yang kita saksikan sejak 7 Oktober bukan sekadar konflik antara rejim Zionis dan Hamas, atau antara rejim Zionis dan Hizbullah – yang disebut sebagai ‘Parti Syaitan’.”


Kehadiran Tokoh Kontroversi Dalam Delegasi

Turut serta dalam delegasi adalah Noor Dahri, pengasas Islamic Theology of Counter-Terrorism yang berpusat di United Kingdom, serta penulis tetap untuk Times of Israel. Beliau juga berafiliasi dengan organisasi pemikir sayap kanan, Henry Jackson Society.

Dahri memuat naik gambar-gambar kunjungan ke lokasi-lokasi penting seperti Masjid Al-Aqsa dan Tembok Ratapan di laman X.

Seorang lagi anggota delegasi ialah Ali El-Darja, warganegara Maghribi-Itali yang menetap di Turin. Beliau menyatakan kunjungan ke Baitulmaqdis adalah impian peribadi selepas menunaikan haji di Mekah dan Madinah.


Kecaman Ulama Islam dan Reaksi Dunia Muslim

Keputusan Masjid Bilal berlaku di tengah-tengah kemarahan umat Islam akibat operasi ketenteraan rejim Zionis yang berterusan di Gaza.

Syeikh Dr. Ali al-Qaradaghi, Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Muslim Sedunia, menulis di platform X:

“Lawatan para syeikh ke entiti penjajah bukan sahaja mencemarkan imej para ulama tersebut, bahkan lebih mengaibkan mereka yang menganjurkan dan menunjukkan kepatuhan kepada entiti tersebut.”


Sumber: Hidayatullah.com

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts