RAMALLAH, TEBING BARAT – Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, mengumumkan kelulusan 19 penempatan haram baharu Yahudi di wilayah Palestin, Tebing Barat, menurut laporan agensi berita DW kelmarin.
Senarai kelulusan itu termasuk dua buah kampung di Tebing Barat yang telah dikosongkan oleh Israel pada tahun 2005.
Kumpulan pemantau berhaluan kiri Israel, Peace Now, menyatakan bahawa penempatan baru yang diluluskan itu termasuk kawasan yang sebelum ini tidak pernah disentuh oleh Israel.
Sebahagian lagi penempatan Yahudi dijangka dibina di kawasan Palestin yang padat penduduk, serta tapak di mana masyarakat Palestin telah diusir.
“Kami akan terus membangunkan, membina dan menetap di tanah warisan nenek moyang kami, dengan keyakinan terhadap keadilan jalan kami,” kata Smotrich melalui platform X.
Menurut Smotrich, Israel sedang menghentikan penubuhan sebuah negara Palestin dengan mewujudkan penempatan-penempatan Yahudi baharu.
Bagi pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), perluasan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat kini mencapai tahap tertinggi sejak sekurang-kurangnya 2017.
Peace Now menambah bahawa bilangan penempatan haram, yang sering dirujuk sebagai “formalisasi” oleh rejim Zionis, meningkat hampir 50 peratus di bawah kerajaan semasa, daripada 141 pada 2022 kepada 210 pada tahun ini.
“Perkembangan ini mengukuhkan lagi pendudukan haram Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa serta menjejaskan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri,” kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.
Sumber: Kosmo
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








