Israel bina pusat pemeriksaan konkrit di pintu masuk Baitulmaqdis

 

BAITULMAQDIS – Rejim pengganas Israel mula membina pusat pemeriksaan kekal daripada konkrit di pintu masuk utama Baitulmaqdis, bagi mengehadkan lagi kemasukan rakyat Palestin, kata penduduk.

Pembinaan bangunan konkrit di Pintu Damascus – salah satu pintu masuk yang popular di kalangan rakyat Palestin – bermula seminggu selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Rakyat Palestin yang tinggal di Baitulmaqdis berkata, pusat pemeriksaan baharu itu bertujuan mewujudkan ‘fakta sejarah atas tanah’ bagi mengubah status quo Baitulmaqdis sebagai bandar yang diduduki.

Presiden Pertubuhan Akademik dan Pengajian Hal Ehwal Antarabangsa berpangkalan di Baitulmaqdis, Mahdi Abdul Hadi berkata, pembinaan pusat pemeriksaan kekal daripada konkrit di Pintu Damascus, bertujuan melumpuhkan pergerakan sosial, keagamaan dan belia rakyat Palestin di kawasan itu.

“Ini berlaku dengan mendapat lampu hijau daripada Washington dan beberapa negara Arab,” katanya.

Pembinaan itu juga dilakukan setelah askar rejim pengganas Israel mendominasi dan mengawal Baitulmaqdis. Dengan bangunan konkrit itu juga askar rejim bebas memeriksa rakyat Palestin yang hendak masuk ke Baitulmaqdis, tanpa dapat dirakam oleh kamera.

Kawasan sekitar Pintu Damascus – rakyat Palestin memanggilnya Bab al-Amound – adalah tempat popular di mana rakyat Palestin berkumpul, minum kopi dan menyanyikan lagu kebangsaan mereka, satu bentuk bantahan terhadap penjajahan di tanah mereka. Ia juga menjadi tapak demonstrasi yang lebih formal dan pertempuran ganas antara penunjuk perasaan dan polis rejim pengganas Israel.

 

Rejim pengganas Israel meletakkan papan tanda memaklumkan pembinaan pusat pemeriksaan kekal di Pintu Damascus.

Pada Oktober 2015, tatkala gelombang kebangkitan tunjuk perasaan dan ketegangan politik berlaku, beberapa pemuda Palestin menikam mati seorang anggota polis tentera rejim itu berdekatan Pintu Damascus.

Sejak itu, rejim pengganas Israel membina pusat pemeriksaan sementara daripada plastik dan kayu untuk menahan dan memeriksa rakyat Palestin yang menggunakan pintu itu.

Pemilik sebuah kedai bunga di Baitulmaqdis, Jamil Hidmi berkata, pihak berkuasa rejim pengganas Israel mahu menakutkan penduduk dengan tindakan untuk membogelkan mereka ketika pemeriksaan di dalam bangunan konkrit itu setiap kali melalui Pintu Damascus.

Sebagai tambahan kepada pembinaan bangunan itu, rejim pengganas Zionis juga memasang kamera litar tertutup yang dilengkapi alat pengesan bunyi di pintu berkenaan.

Rakyat Palestin juga bimbang rejim pengganas Israel akan memasang bendera mereka di pusat pemeriksaan itu, sekali gus mengubah sejarah kawasan berkenaan, serta melanggar resolusi UNESCO yang memberi jaminan kepentingan Baitulmaqdis kepada Islam, Kristian dan Yahudi.

Walaupun, ada pintu masuk lain yang boleh digunakan, peningkatan kawalan ketat di Pintu Damascus menambah kesedihan rakyat Palestin yang kerap dilarang memasuki Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, sejak bertahun-tahun lalu.

Rakyat Palestin, terutama dari Tebing Barat, tidak dibenar melawat Baitulmaqdis dengan bebas sejak Intifada Kedua pada September 2000.

Rakyat Palestin yang mempunyai kad pengenalan Baitulmaqdis berusia di bawah 50 tahun pula biasanya dihalang daripada memasuki Masjid Al-Aqsa ketika solat Jumaat.

 

Pembinaan pusat pemeriksaan di hadapan Pintu Damascus, Baitulmaqdis.

Sejak pengumuman Trump itu juga penduduk berkata, pemeriksaan keselamatan, termasuk kad pengenalan dan beg yang dibawa, lebih kerap dilakukan di Pintu Damascus dan Masjid Al-Aqsa.

Pihak berkuasa Israel juga baru-baru ini dikatakan mengenakan cukai yang tinggi terhadap hartanah yang dimiliki Jabatan Wakaf Baitulmaqdis, selain menggalakkan parti politik, sekolah Yahudi dan pertubuhan berpindah ke Baitulmaqdis.

Bagi rakyat Palestin yang tinggal di Baitulmaqdis, pembinaan bangunan kekal pusat pemeriksaan di Pintu Damascus itu, adalah salah satu usaha rejim pengganas Israel untuk mengambil-alih Baitulmaqdis sepenuhnya dan menjadikannya sebagai ibu negara mereka.

Apa yang dilakukan ialah, pertama, rejim pengganas Israel menterjemahkan deklarasi Trump bahawa Baitulmaqdis adalah ibu negara Israel; kedua, mereka mengubah status quo Baitulmaqdis sebagai bandar yang diduduki secara haram dan meminggirkan penjagaan Raja Jordan ke atas tanah suci itu dengan menambah kehadiran tentera; dan ketiga, menyediakan peta baharu Israel yang mengetepikan kawasan sekitar Baitulmaqdis.

Apa yang dilihat sekarang ialah peraturan ketat tentera dan polis rejim pengganas Israel untuk ‘menghalau’ rakyat Palestin daripada tanah mereka secara sistematik. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts